Buruh dituduh bunuh pemandu kereta sewa - Utusan Malaysia

Buruh dituduh bunuh pemandu kereta sewa

MUHAMMAD Hanif Mohd. Rosli (dua dari kiri) yang dituduh membunuh pemandu kereta sewa dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Kuala Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang buruh dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan membunuh pemandu kereta sewa di Kampung Teluk Ketapang, Seberang Takir, Kuala Nerus dekat sini pada dua minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Hanif Mohd. Rosli, 29, mengangguk faham di hadapan Majistret Nik Mohd. Tarmizie Nik Mohd. Shukri selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya hari ini.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian terhadap seorang pemandu kereta sewa di dalam kenderaan mangsa.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di tepi jalan dekat Klinik Kesihatan Seberang Takir, Kampung Teluk Ketapang antara pukul 10.09 malam sehingga 10.56 malam pada 10 Ogos lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mati atau penjara antara 30 sehingga 40 tahun serta sekurang-kurangnya 12 sebatan jika tidak dihukum mati.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Khairuddin Idris manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Shahir Mat Jusoh.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 27 September depan.

Terdahulu, akhbar melaporkan seorang pemandu kereta sewa, Mohd. Latif Idris, 51, ditemukan mati di tempat duduk belakang keretanya dengan kesan luka di bahagian leher.

Pihak polis turut menemukan suspek yang berada di tempat duduk pemandu serta sebilah pisau disyaki digunakan sebagai senjata pada hari kejadian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya