BNM halang 1MDB tambah hutang - Zeti

BNM halang 1MDB tambah hutang – Zeti

ZETI Akhtar Aziz ketika hadir di Mahkamah Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN.M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) ‘menggagalkan skim mega’ 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) untuk menambah hutang luar negara sebanyak RM4.9 bilion.

Permohonan untuk `tambah hutang’ itu dibuat kira-kira setahun sebelum unit risikan kewangan luar negara memaklumkan bank pusat itu mengenai kemungkinan berlakunya penyelewengan dana syarikat terbabit.

Menurut bekas Gabenor BNM, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, rayuan oleh syarikat pelaburan strategik negara berhubung perkara sama juga ditolak.

Ujarnya, BNM boleh memberikan pertimbangan sewajarnya jika 1MDB menyimpan wangnya di luar negara untuk membayar hutang luar bagaimanapun syarikat itu gagal memberikan sebarang maklumat mengenai dana itu kerana `ia sememangnya tiada’.

“Mereka cuba untuk mengambil pinjaman luar negara dan mengemukakan permohonan pada 3 Jun 2014. Ini berlaku sebelum maklumat (mengenai penyelewengan) diterima oleh pihak berkuasa luar negara (sekitar 2015).

“BNM menolak permohonan ini sekali gus menghentikan ‘rancangan mega’ yang mereka buat. Rayuan mengenainya ditolak,” katanya.

Zeti bagaimanapun tidak pasti sama ada 1MDB ada mengemukakan rayuan kepada Kementerian Kewangan ketika itu dan BNM juga tidak pernah menerima sebarang arahan atau dihubungi Najib berhubung isu pinjaman tersebut.

Selain itu beliau memberitahu, 1MDB didenda sebanyak RM15 juta selepas gagal untuk mendapatkan kembali semua dana syarikat itu yang dikatakan disimpan di luar negara.

Denda tersebut dijelaskan secara penuh pada 25 Mei 2016.

Tambahnya, dengan membayar denda tersebut, 1MDB secara tidak langsung `mengakui’ bahawa mereka tidak mempunyai sebarang pelaburan atau simpanan di luar negara.

Esok, mahkamah akan bermula dengan pendengaran permohonan Najib agar Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menarik diri daripada terus mendengar perbicaraan kes itu.

Najib dibicarakan atas empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Terdahulu, Zeti mengesahkan bank pusat itu hanya mengetahui wang pelaburan 1MDB sebanyak AS$700 juta dilencongkan ke satu syarikat lain, Good Star Limited yang dikatakan milik Jho Low, enam tahun selepas pemindahan itu berlaku.

Beliau bagaimanapun menafikan `kelewatan’ itu adalah sesuatu yang pelik kerana berdasarkan pengetahuannya, usaha untuk menjejak dan mendedahkan sesuatu penyelewengan oleh mana-mana pihak berkuasa kewangan dunia akan mengambil masa berbulan atau bertahun.

Menjawab pertanyaan Muhammad Shafee sama ada siasatan BNM menemui sebarang petunjuk atau arahan oleh Najib untuk melakukan pemindahan itu, Zeti menyatakan:”Tiada.”

“Secara bertulis, tiada sebarang arahan bertulis. Secara lisan, saya tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenainya pada ketika itu dan tidak tahu apa yang berlaku di belakang tabir,” ujar Zeti.

Wang AS$700 juta merupakan sebahagian wang AS$1 bilion yang sepatutnya dilaburkan dalam projek usahasama 1MDB dan Petrosaudi International (PSI). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN