PETALING JAYA: Pemimpin parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yakin Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berpeluang untuk dilepas dan dibebaskan daripada tiga lagi pertuduhan yang masih kekal melibatkan pengubahan wang haram.
Hal itu selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kelmarin memutuskan untuk membatalkan empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta dihadapi bekas Perdana Menteri itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, keputusan hakim bagi tiga pertuduhan lain diharap serupa dengan keputusan mahkamah sebelum ini bahawa Muhyiddin tidak bersalah.
“Apabila empat pertuduhan utama ini dimansuh, maka, saya yakin dan berharap hakim akan membuat keputusan yang serupa. Sebab pertuduhan sebelum ini tiada prima facie pun.
“Sepatutnya, Peguam Negara muhasabah diri menuduh seseorang secara terpilih,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sementara itu, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, meskipun Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan Muhyiddin berdepan pertuduhan lain di mahkamah, beliau optimis keadilan akan memihak kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu.
“Ya, sudah pasti. Sebab empat pertuduhan kelmarin ialah pertuduhan predikat. Jadi, saya yakin pertuduhan selebihnya juga akan berdepan situasi sama,” katanya.
Kelmarin, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan membatal empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) bagi parti itu.
Hakim Muhammad Jamil memutuskan demikian selepas berpuas hati, keempat-empat pertuduhan adalah cacat, tidak berasas, kabur selain tidak mendedahkan butiran kesalahan dilakukan, menyebabkan tertuduh tidak dapat menyediakan arahan selanjutnya kepada peguam yang mewakilinya.
Jabatan Peguam Negara (AGC) pada hari sama memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang membebas dan melepaskan Muhyiddin daripada empat tuduhan salah guna kuasa.
Bagaimanapun, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, berkata keputusan itu hanya membabitkan empat pertuduhan bagi kesalahan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Katanya, tiga lagi tuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dihadapi Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Presiden BERSATU itu masih kekal.
Muhyiddin mula didakwa pada 10 Mac lalu. – UTUSAN










