Berakhirnya legasi Tok Guru Nik Aziz

Berakhirnya legasi Tok Guru Nik Aziz

Langkah NIK Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz umum berehat daripada politik menimbulkan kebimbangan berakhirnya legasi politik Nik Abdul Aziz Nik Mat. -UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGUMUMAN terbuka bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz untuk ‘berpuasa’ dan berehat daripada arena politik negara bukanlah berita gembira buat Pas.

Tindakan itu dilihat seolah-olah memberi ‘isyarat’ bahawa legasi ‘figura’ paling berpengaruh dalam Pas iaitu Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat atau Tok Guru Nik Aziz akan terpadam selepas ini.

Mana tidaknya, Nik Mohamad Abduh sering dilabel sebagai ‘batang tubuh’ kepada bekas Mursyidul Am Pas dan merupakan pewaris ‘tunggal’ Allahyarham yang aktif berpolitik dan berjuang bersama parti berkenaan sebelum ini.

Berbeza dengan abangnya Nik Omar yang memilih perjuangan bersama PKR dalam Pakatan Harapan (PH).

Walaupun tidak meletakkan tempoh masa untuk kembali semula ke gelanggang politik, keputusan Nik Mohamad Abduh atau Nik Abduh itu dilihat memberikan ‘tamparan’ buat Pas di saat mereka berdepan dengan pilihan raya negeri (PRN) ketika ini.

Hal ini kerana, ramai penyokong Pas menaruh kepercayaan untuk melihat Nik Abduh berada dalam saf kepemimpinan Kerajaan Kelantan selepas berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Pasir Mas dan Bachok.

Kelibat Nik Abduh sememangnya ditagih bagi menyambung semula perjuangan yang telah ditinggalkan oleh Tok Guru Nik Aziz.

Perjuangan Tok Guru Nik Aziz cukup dekat dengan rakyat Kelantan apabila berjaya memimpin negeri walaupun kerajaan yang dibentuk ketika itu hanya dibezakan dengan dua kerusi iaitu pada 2004 lalu.

Bagaimanapun, suasana politik Kelantan yang sebelum itu suram bertukar menjadi ‘hangat’ apabila nama Nik Abduh terus ‘tercicir selepas tidak dicalonkan sebagai wakil rakyat untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka walaupun namanya sudah melepasi tapisan Majlis Syura Ulamak.

Pas Kelantan semasa pengisytiharan calon PRN DUN di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV baru-baru ini, turut membuat kejutan apabila menggugurkan penyandang kerusi berkenaan Ahmad Fathan Mahmood dan menggantikan dengan muka baharu iaitu Nik Baharum Nik Abdullah yang merupakan seorang peguam.

Tidak cukup dengan itu, adik Nik Aziz iaitu Nik Din Nik Mat mendakwa Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah merupakan individu yang menyebabkan nama anak saudaranya Nik Abduh tercicir sebagai calon wakil rakyat dan mengajak rakyat di DUN Panchor menolak Timbalan Menteri Besar pada PRN 12 Ogos nanti.

Nik Din mendedahkan dia bertemu dengan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada 23 Jun lalu di Rusila, Terengganu dan memberi jaminan Nik Abduh akan diangkat sebagai calon.

Namun sebaliknya berlaku, selepas mendapati anak saudaranya itu tidak dicalonkan di kerusi DUN Chempaka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×