SETIU: Persediaan sepasang suami isteri menyambut kelahiran anak sulung dengan menyediakan barang keperluan musnah selepas kediamannya di Kampung Rahmat, di sini, terbakar kira-kira pukul 7 malam, semalam.
Aswad Abdullah yang juga pemilik bengkel berkata, dia dan isterinya, Farah Farhana Hassan, 21, yang mengandung tujuh bulan dijangka bersalin telah membuat persiapan awal menyambut kelahiran bayi mereka pada Oktober depan.
Bagaimanapun, katanya, dia sedih apabila semua barang persiapan kelahiran bayi pertamanya yang dibeli pada Jumaat lalu musnah dalam kebakaran itu.
Malah katanya, bengkel membaiki kenderaan miliknya yang terletak berhadapan dengan rumah itu turut terbakar sehingga memusnahkan alat-alat ganti kereta dan mesin membaiki dianggarkan lebih RM150,000.
“Kejadian berlaku ketika saya sedang membaiki kenderaan di bengkelnya sebelum dihubungi jiran yang melihat kepulan asap dari dalam rumahnya.
“Saya kemudian bergegas masuk ke dalam rumah, namun api sudah marak membakar bahagian ruang tamu.
“Kemudian saya cuba memadam api menggunakan alat pemadam api tetapi tidak berjaya memandangkan api terlalu tinggi dan marak. Mujur juga isteri yang sarat mengandung berada di luar rumah,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
Aswad memberitahu, dia dan isterinya kini tinggal sehelai sepinggang apabila tidak dapat menyelamatkan dokumen penting, barang-barang bayi, barang kemas dan duit simpanan RM16,000.
Sementara itu, Farah Farhana pula berkata, dia bersyukur tiada kemalangan jiwa berlaku dalam kebakaran tersebut meskipun sedih dengan kejadian ini dan mereka tinggal sementara di rumah ibu mertua di Kampung Pak Kancil.
“Saya dan suami baru membeli kelengkapan bayi, Jumaat lalu, sebagai persiapan kelahiran anak sulung yang dijangka Oktober nanti namun semuanya musnah sekelip mata,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu, Mohd. Razli Rapaie berkata, kebakaran itu melibatkan empat buah rumah kedai yang hangus 90 peratus.
Menurut Mohd. Razli, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.36 malam sebelum seramai 19 anggota dan empat buah jentera dibantu BBP Kuala Nerus bergegas ke lokasi kejadian.
“Kebakaran ini turut memusnahkan dua buah kereta pelanggan di bengkel mengecat kenderaan yang terletak bersebelahan premis milik Aswad,” tambahnya. – UTUSAN