BENTONG: Bapa mentua kepada Idris Abdol Talib Ramli yang merupakan antara mangsa tragedi pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor sedih mengenangkan nasib menimpa menantunya serta cucunya yang baru berusia tiga bulan.
Ketika ditemui di rumahnya di Kampung Ketari di sini, Ahmad Rusli Ibrahim, 82, berkata, dia tidak menyangka menantunya itu seorang daripada mangsa selepas membaca namanya dalam televisyen dan hampir rebah ketika itu.
Dia yang tinggal seorang diri berkata, anak perempuannya, Adlina Aishah Ahmad Rusli yang trauma ekoran kejadian itu tidak menghubunginya bagi memberitahu kejadian yang menimpa suaminya.
“Saya terkejut dan sedih apabila mendapat tahu berita ini apatah lagi memikirkan anak-anaknya masih kecil dan anak ketiganya berusia tidak sampai tiga bulan.
“Semasa hari kejadian dia (Adlina Aishah) ada menelefon saya dan saya hanya menanyakan anaknya dan suaminya sebelum dia menyatakan mereka baik,” katanya di sini.
Menurut Ahmad Rusli, kali terakhir dia bertemu dengan Allahyarham Idris Abdol Talib adalah seminggu lalu ketika dia bertandang ke rumah anaknya di Kuala Lumpur.
Katanya, tiada perubahan ditunjukkan mangsa ketika itu yang seperti biasa melayannya dengan baik ketika dia bertandang ke rumah mereka.
“Dia memang jenis pendiam dan seperti biasa semasa saya bertandang ke rumahnya dia tidak banyak berborak dan tidak menunjukkan apa-apa perubahan.
“Saya reda kerana itu kehendak Allah SWT hendak ambil balik haknya. Apa lagi yang kita hendak cakap, walaupun rasa kehilangan tetapi tahu dia dibawa balik tuhan ke tempat lebih luas di alam lain,” ujarnya.
Dalam nahas ngeri pukul 2.40 petang itu, 10 individu disahkan meninggal dunia dengan lapan daripadanya adalah juruterbang dan penumpang pesawat ringan tersebut.
Dua lagi mangsa adalah seorang pemandu dan penunggang e-hailing yang ketika nahas melalui lokasi kejadian.
Antara penumpang pesawat yang maut adalah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Seri Johari Harun.
Ketika kejadian, pesawat dengan nombor pendaftaran N28JV itu dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Kedah ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
Pesawat itu dikesan melencong ke kanan dari laluan penerbangan dengan siasatan awal mendapati pesawat berkenaan sudah mendapat kebenaran untuk mendarat oleh menara kawalan Lapangan Terbang Subang. – UTUSAN










