KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru kepada semua pengundi yang terlibat dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN) esok supaya mengambil tanggungjawab dengan serius mengundi calon-calon wakil rakyat mereka demi perpaduan dan masa hadapan negara.
Beliau menyuarakan pesanan itu termasuk kepada golongan muda yang baru mendapat peluang mengundi selain dianggap bijak dalam menentukan calon wakil rakyat mereka.
“Esok 12 Ogos, insya-Allah rakan dan saudara di enam DUN dan Parlimen Kuala Terengganu akan menunaikan tanggungjawab mereka. Pastikan ini wakil-wakil calon yang didukung untuk menerajui kerajaan negeri dan sebagai ahli Parlimen.
“Semoga ia berjalan dengan lancar, baik dan tenang menjalankan dan menyempurnakan tanggungjawab. Kepada pengundi-pengundi termasuk anak muda yang baharu mendapat peluang diberi hak untuk memilih.
“Saya percaya anda semua dapat memilih dengan bijak, menjaga keamanan negara, kestabilan negara dan parti dan kerajaan yang boleh memulihkan ekonomi, memberi jaminan pekerjaan, kepada mereka dan lebih utama memberi keselesaan hidup kepada diri dan keluarga, dan negara Malaysia tercinta.
“Ambil tanggungjawab ini sebagai sesuatu yang serius untuk menjamin suatu kemajuan negara dan keamanan perpaduan rakyat seluruhnya,” katanya menerusi klip video berdurasi satu minit dan 51 saat yang dikongsi di Facebooknya hari ini.
Seramai 9.67 juta pengundi akan menunaikan tanggungjawab memilih wakil mereka di peringkat DUN di enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Seramai 122,160 orang layak mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) untuk Parlimen Kuala Terengganu.
Sebanyak 17,048 saluran mengundi disedia di 3,190 pusat mengundi di semua 245 kawasan DUN di enam negeri itu, manakala untuk PRK Parlimen Kuala Terengganu, 217 saluran mengundi disediakan di 41 pusat mengundi. – UTUSAN