KUALA LUMPUR: “Seperti program buka puasa sunat hari ini, Datuk Seri Johari Harun yang sumbangkan.”
Demikian pendedahan daripada Nazir Masjid Al-Iman, Rafie Mohd Ali mengenai Johari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai yang merupakan antara 10 individu maut dalam insiden sebuah jet eksekutif terhempas, petang tadi.
Kata beliau, Johari bukan sahaja sahabatnya yang baik tetapi juga seorang ihsan yang gemar menyumbang kepada segala aktiviti berkaitan masjid.
“Program buka puasa sunat di masjid ini dibuat pada hari Isnin dan Khamis setiap bulan yang ditanggung sepenuhnya oleh jemaah.
“Setiap bulan, dia (Johari) mesti ambil tiga hari untuk sponsor (membiayai) program berbuka puasa sunat dan tak silap saya, hari ini juga dia yang sponsor,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Terdahulu, dilaporkan, jet tersebut terhempas berdekatan kawasan perumahan Elmina, Seksyen U16, di Shah Alam.
Pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Langkawi, pada pukul 2.08 petang menujuke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang sebelum terputus hubungan dengan menara kawalan pada pukul 2.40 petang.
Selain dua juruterbang pesawat dan lima lagi penumpang, dua lagi yang terbunuh ialah seorang penunggang motosikal serta pemandu kereta yang ketika kejadian melalui kawasan terbabit.
Mengulas lanjut, Rafie berkata, Johari merupakan seorang individu yang suka membuat kebaikan, namun, tidak mahu dihebohkan.
“Saya pernah tanya beliau, jemaah kita suka sangat kalau dapat dengar ceramah Datuk Badli Shah Alauddin (Timbalan Mufti Pahang), tapi, kita ni orang kuala Lumpur, jauh sikit dan sumbangan beliau juga agak tinggi untuk masjid seperti ini.
“Beliau kata, eh saya kenal, tidak mengapa saya uruskan. Saya selesaikan semua, jangan bimbang pasal duit saya uruskan semua,” katanya.
Johari yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Negeri Pahang dimaklumkan akan dikebumikan di Janda Baik.
Masjid turut mengadakan majlis tahlil ringkas untuk Johari selepas solat Isyak. -UTUSAN