PETALING JAYA: Penganjuran aktiviti bersifat patriotisme dan kempen kenegaraan melibatkan anak muda perlu diperbaiki dengan mengambil kira penggunaan media sosial.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd. Izzat Afifi Abd. Hamid berkata, golongan muda pada masa ini lebih banyak menggunakan media sosial berbanding ‘menghadap’ media tradisional.
“Pada masa sama, (pengajaran) subjek sejarah di sekolah juga perlu ditambah baik. Bukanlah membosankan, namun ia agar dilihat bukan sekadar menghafal tarikh serta peristiwa bersejarah. Tonjolkan satu perjalanan negara kita dengan penceritaan lebih menarik.
“Seterusnya, pihak sekolah perlu melakukan lawatan ke kawasan bersejarah supaya pelajar bukan hanya dengar melalui teori semata-mata, tetapi melihat melalui mata kasar soal bagaimana situasi di kawasan itu,” katanya.

Semalam akhbar ini melaporkan, semangat patriotik rakyat terutama anak muda dilihat semakin ‘suram’ walaupun negara bakal menyambut Hari Kebangsaan hari ini.
Sambutan Hari Kebangsaan pada masa ini dilihat lebih dihargai golongan berusia berbanding dengan anak muda.
Mohd. Izzat Afifi berkata, semangat patriotik anak muda khususnya dalam menzahirkan rasa cinta dan sayang kepada negara adalah berbeza sekali gus menepis dakwaan semangat berkenaan dalam golongan itu semakin ‘suram’.
“Paling mudah adalah apabila ada perlawanan bola sepak, badminton atau aktiviti sukan lain, anak muda kita turun, penuh stadium. Selain itu, filem Mat Kilau yang menonjolkan semangat cintakan negara, bangsa dan agama mendapat kutipan hampir RM90 juta juga menunjukkan anak muda bersemangat kepada negara.
“Itu menunjukkan anak muda bersemangat, sayang dan patriotik kepada negara, cuma cara semangat yang ditunjukkan itu berbeza. Tetapi, sudah tentu banyak lagi cara perlu diperbaiki. Mengibarkan bendera memang satu perkara (boleh dilakukan) pada bulan ini, namun kena ikut cara orang muda.
“Antara perkara boleh dilihat mungkin (perbanyakan aktiviti) melalui sukan dan karya seni yang boleh membangkitkan semangat patriotisme dalam kalangan anak muda,” katanya.
Sementara itu Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Wan Amsyar Hadie Wan Mahadi berkata, kaedah penyampaian untuk menarik minat anak muda mempelajari sejarah kenegaraan Malaysia perlu lebih sesuai dengan peredaran zaman serta kreatif terutama menerusi kandungan dalam media sosial.
Katanya, ini kerana program berbentuk kenegaraan dilihat tidak mendapat sambutan menggalakkan daripada orang muda yang boleh mendorong kepada kurangnya semangat patriotik itu.
“Bergerak ke dunia digital juga, nilai patriotik boleh ditambah dengan perbanyak pertandingan untuk menghasilkan karya-karya bersifat patriotik serta dapat merangsang mereka untuk belajar sejarah negara,” katanya. – UTUSAN










