Ahli, penyokong Pas perlu terima Dominic dengan hati terbuka

Ahli, penyokong Pas perlu terima Dominic dengan hati terbuka – Takiyuddin

TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli dan penyokong Pas perlu menerima pemilihan Presiden Parti Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas dengan hati yang terbuka.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, langkah itu perlu kerana Pas percaya keputusan mengenainya dibuat dengan dengan persetujuan kepimpinan tertinggi parti setelah melalui semua proses dan melepasi syarat yang ditetapkan.

Oleh itu, selain terima dengan hati terbuka, beliau berkata, ahli dan penyokong Pas juga perlu meletakkan kepercayaan kepada kepimpinan parti yang diketuai oleh Tan Sri Abdul Hadi Awang sendiri.

“Pas seperti mana parti-parti lain juga amat sedar dan maklum bahawa politik gabungan cenderung untuk menimbulkan rasa tidak puas hati, kecewa dan sebagainya, terutamanya dalam isu-isu berkaitan pembahagian kerusi atau pemilihan calon bagi sesuatu kerusi DUN mahupun Parlimen.

“Dalam konteks pemilihan Dr. Dominic sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi DUN Bayan Lepas yang merupakan sebuah kerusi majoriti Melayu, Pas amat sedar berhubung sentimen dalam kalangan ahli dan penyokong di peringkat tempatan susulan pencalonan beliau.

“Justeru, saya menyeru ahli-ahli Pas berkaitan supaya menyedari bahawa bantahan berterusan dan tindak-tanduk yang berlawanan dengan kepentingan parti bukan sahaja berkemungkinan menimbulkan suasana tidak harmoni dalam gabungan PN, malah turut mencabar dan mempersoalkan kebijaksanaan serta ketepatan keputusan Tan Sri Presiden Pas sendiri,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Terdahulu, Pas merakamkan rasa kurang selesa sekali gus meminta maaf atas insiden melibatkan Dominic yang dilihat tidak dialu- alukan ke majlis Ceramah Mega PN Best di Tasek Gelugor, Pulau Pinang yang turut dihadiri oleh Presiden Pas baru-baru ini.

Menurut Takiyuddin, walaupun Dr. Dominic kemudiannya dilapor menolak dakwaan bahawa beliau ‘diminta keluar’ dari situ oleh seorang pemimpin Pas tempatan, namun beliau percaya kehadiran Presiden Gerakan itu perlu diterima dan dihargai sebagai tetamu berdasarkan akhlak dan prinsip-prinsip Islam.

“Selain itu, parti pimpinannya Gerakan juga merupakan rakan gabungan dalam PN dan beliau sendiri merupakan calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang sedang berlangsung sewajarnya diberikan penghormatan yang layak dan munasabah,” katanya.

Pada masa sama, Takiyuddin berkata, dalam suasana politik semasa yang dicemari naratif cauvinis dan melampau, ahli dan penyokong parti itu bertanggungjawab bukan sahaja untuk menunjuk arah kepada politik matang dan sederhana, malah turut bertanggungjawab untuk memberi pertolongan dan perlindungan kepada pihak-pihak yang memerlukannya.

“Berdasarkan latar belakang itu, Pas melihat Dr. Dominic dan parti pimpinannya tergolong dalam kelompok yang memerlukan pertolongan serta perlindungan itu, justeru sekali lagi saya menyeru ahli-ahli Pas dengan berlapang dada sewajarnya menjadi pihak yang menghulur segala bantuan yang sehabis mampu atas semangat setiakawan dan persaudaraan yang tulus.

“Pas juga berharap dan menggesa semua ahli dan penyokong parti dan PN supaya memberi tumpuan kepada PRN yang sedang kita hadapi, sekali gus mengetepikan sementara perkara-perkara lebih kecil yang boleh melemahkan usaha bersama untuk mencapai kejayaan yang akan membolehkan kita meraih kejayaan-kejayaan yang lebih besar dan bermakna.

“Sewaktu negara dan nusa memerlukan kita berbakti kepadanya, sewajarnya dengan tulus dan bertanggungjawab, kita menyahut seruan itu dalam kerangka satu suara dan satu tekad yang sebaik-baiknya,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN