Aboh' bertembung 'papa' di DUN Cukai

Aboh’ bertembung ‘papa’ di DUN Cukai

MOHAMED Rahim Hussin dan Hanafiah Mat bersama-sama berkempen menyantuni peniaga dan pengunjung di Pasar Malam Geliga, Kemaman, semalam. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Suasana kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai meriah apabila dua calon yang merebut kerusi tersebut bertembung ketika menyantuni peniaga dan pengunjung di Pasar Malam Geliga, di sini, semalam.

Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamed Rahim Hussin yang digelar ‘papa’ oleh anak muda di DUN ini, bertembung dengan penyandang kerusi, Hanafiah Mat yang mesra digelar ‘aboh’.

Terdahulu, Mohamed Rahim iaitu ahli perniagaan itu tiba di pasar malam tersebut kira-kira pukul 5.20 petang, diikuti Hanafiah pula tiba kira-kira 20 minit kemudian. 

Meskipun berbeza ideologi politik, kedua-dua calon itu dilihat saling berpelukan dan bergurau serta menyokong kempen antara satu sama lain.

Mohamed Rahim berkata, meskipun pentas PRN ini merupakan kali pertama beliau bertanding, beliau diterima baik pengundi di DUN ini memandangkan beliau tidak asing bagi UMNO dan sering membantu penduduk di DUN ini sebelum ini. 

“Saya memilih berkempen secara bersemuka dengan mendekati pengundi di kampung-kampung dan di pasar. Bila saya bertemu pengundi, ramai yang beritahu masalah mereka dan apa yang mereka perlukan. 

“Insya-Allah, saya akan gunakan kepakaran dan pengalaman saya terutamanya dalam soal pembangunan untuk memajukan Chukai. Saya tidak akan menyentuh soal peribadi pihak lawan dalam berkempen, sebaiknya saya berharap pengundi memberi peluang kepada saya untuk berkhidmat,” katanya. 

Sementara itu, Hanafiah yang menyandang kerusi itu selama dua penggal berkata, beliau yakin dapat mempertahankan kerusi DUN tersebut. 

“Sebelum ini saya memang sentiasa bekerja keras menjaga kebajikan rakyat di DUN ini dan rakyat boleh menilai kerja saya. Saya yakin dapat mempertahankan kerusi ini, Insya-Allah,” ujarnya. 

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14, dalam pertembungan tiga penjuru, Hanafiah menang dengan  12,428 undi mengalahkan calon BN, Datuk Mohamed Awang Tera yang memperoleh 7,547 undi manakala calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Wan Anies Adnan mendapat 5,104 undi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×