PETALING JAYA: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bersedia memberi kerjasama kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung laporan yang dilakukan mengenai ucapannya semasa berkempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Simpang Jeram, Johor.
Setiausaha Politiknya, Syahir Che Sulaiman berkata, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang itu sudah dihubungi oleh pihak Bukit Aman berhubung laporan polis yang dilakukan terhadap ucapannya tersebut.
“Perkara ini telah pun dimaklumkan kepada Tuan Guru (Abdul Hadi) dan beliau menyatakan kesediaan untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Bukit Aman.
“Malah sebelum ini Tuan Guru telah pun memberikan keterangan kepada Bukit Aman, termasuklah menyerahkan peranti (telefon bimbit) milik pengendali akaun Facebook rasmi beliau (Setiausaha Akhbar) kepada pihak Bukit Aman dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), bagi membantu siasatan.
“Dalam hal ini, Tuan Guru menaruh kepercayaan penuh terhadap profesionalisme PDRM dan SKMM dalam menjalankan tugas dan siasatan.” Katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, keterangan Abdul Hadi akan diambil PDRM dalam masa terdekat ini berhubung kenyataannya yang dipercayai mempertikai kuasa Lembaga Pengampunan dalam ceramahnya di markas parti itu di Bakri, Muar, dua hari lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia. – UTUSAN










