7,587 laman sesawang judi dalam talian disekat

7,587 laman sesawang judi dalam talian disekat

HARME MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 7,587 laman sesawang judi dalam talian disekat manakala 255,174 talian telefon yang mempromosikan judi serta pinjaman tidak berlesen ditamatkan perkhidmatan sejak 2018 hingga Mei lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Bahagian Keselamatan Rangkaian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Harme Mohamed berkata, kesemua laman sesawang judi dalam talian yang disekat berdasarkan maklumat serta siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953.

Kata beliau, kebanyakan judi online yang disekat dikesan dipromosikan dalam media sosial dengan pautan atau URL laman sesawang aktiviti perjudian terbabit bagi menarik pelanggan.

“Antara halangan kegiatan ini dibanteras apabila satu website disekat namun akan beroperasi semula dengan muncul lagi banyak website sama dengan URL yang berbeza. Malah ada laman sesawang tersebut kebanyakannya ‘sah’ di luar negara namun di sini perjudian online salah dari segi undang-undang jadi ia memerlukan bantuan teknikal bagi menyekatnya.

“Selain itu, beberapa proses perlu dilakukan jika ia melibatkan media sosial. Contohnya jika ia diiklankan di Facebook jadi kita perlu menghubungi pihak penyedia dengan memberikan pautan selain menyatakan alasan ia perlu diturunkan,” katanya ketika ditemui di SKMM di sini, baru-baru ini.

Bagaimanapun, menurutnya, perkara ini memerlukan kerjasama berterusan daripada PDRM dan MCMC termasuk dari segi teknikal, pembekalan maklumat dan bantuan forensik digital.

Dalam pada itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati, lebih 10 halaman mempromosikan judi dalam talian di media sosial secara terang-terangan malah terdapat sekurang-kurangnya dua laman sosial yang meletakkan lokasi kedudukan operasi di negara ini.

Pemeriksaan mendapati satu daripada laman sosial tersebut diikuti kira-kira 16,000 pengguna selain turut memaparkan pentadbir berada di Malaysia.

Malah, pemain judi dalam talain tersebut dalam kalangan warga tempatan yang turut memaparkan hadiah wang tunai dimenangi bagi menarik pelanggan.

Dalam pada itu, menurut Harme, dalam tempoh sama, pihaknya turut menamatkan perkhidmatan kira-kira 255,174 talian telefon yang didapati mempromosikan judi dalam talian serta pinjaman tidak berlesen.

“Apabila terdapat laporan atau aduan dibuat, kita akan bekerjasama dengan pihak pembekal perkhidmatan bagi menyekat selain menamatkan perkhidmatan talian terbabit,” katanya.

Terdahulu, Meta Platforms Inc (META) beri jaminan akan terus komited kerjasama erat dengan MCMC dengan PDRM untuk membendung jenayah dalam talian.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, susulan peningkatan kes penipuan, judi dalam talian dan isu membabitkan institusi raja, agama dan bangsa (3R), pihaknya meminta META untuk mengadakan pertemuan bersama PDRM dan MCMC.

Beliau dilaporkan berkata, ini kerana kerugian yang ditanggung rakyat Malaysia bagi tempoh Januari-Mei 2023 menerusi platform META (Facebook, Instagram, dan WhatsApp) mencecah hampir RM330 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN