PETALING JAYA: Enam buah kilang pembuatan perabot musnah dalam kebakaran di Kampung Baru Sungai Buloh dekat sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, satu panggilan kecemasan diterima pada pukul 4.48 petang.
Kata beliau, sebanyak sembilan buah jentera serta sepasukan anggota keluaran Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh, BBP Selayang, BBP Damansara, BBP Rawang dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Dimaklumkan terdapat kebakaran melibatkan enam buah kilang pembuatan peralatan perabot,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, proses pemadaman sedang dijalankan pada masa ini. – UTUSAN