50% kanak-kanak tidak disuntik dos kedua vaksin Covid-19

50% kanak-kanak tidak disuntik dos kedua vaksin Covid-19

DATA KKMNOW menunjukkan separuh dari negeri di seluruh negara masih jauh mencapai sasaran 50 peratus kanak-kanak perlu disuntik dos vaksin Covid-19.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 49.8 peratus atau 1.76 juta kanak-kanak berumur lima hingga bawah 12 tahun hanya mengambil dos pertama vaksin Covid-19 dan perkara itu mendedahkan golongan itu kepada jangkitan wabak tersebut.

Mengikut data di laman sesawang KKMNOW setakat 13 Ogos lalu, hampir separuh kanak-kanak di bawah 12 tahun hanya mengambil dos pertama manakala 43.3 peratus atau 1.53 juta lagi kanak-kanak mengambil dos kedua vaksin Covid-19.

Selepas Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) berakhir 31 Mei 2022 menunjukkan semakin ramai kanak-kanak tidak mengambil vaksin bagi membentuk ‘perlindungan’ optimum daripada dijangkiti Covid-19.

Data KKMNOW menunjukkan separuh dari negeri di seluruh negara masih jauh mencapai sasaran 50 peratus kanak-kanak perlu disuntik dos vaksin Covid-19.

Kelantan negeri paling rendah dengan hanya 16 peratus, Terengganu (20.4%), Perlis (31.5%); Kedah (34.1%); Sabah (34.4%); Pahang (39.6%) dan Perak (49.9%).

Negeri-negeri yang merekodkan lebih 50 peratus kanak-kanak menerima dos pertama vaksin ialah Pulau Pinang (53.1%); Labuan (55.4%); Negeri Sembilan (55.7%); Johor (56.6%); Selangor (57.5%); Kuala Lumpur (57.5%) dan Melaka (64.9%).

Hanya Sarawak mencatatkan vaksinasi penuh iaitu 101 peratus bagi dos pertama dan 90.9 peratus bagi dos kedua.

Pengambil dos penggalak pertama pula, semua negeri mencatatkan kurang daripada satu peratus iaitu 0 peratus (Kedah, Kelantan, Perlis, Terengganu); 0.1 peratus (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Labuan); 0.2 peratus (Johor, Sabah); 0.3 peratus (Selangor, Kuala Lumpur) dan 0.7 peratus (Sarawak).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, meskipun wabak Coid-19 tidak lagi agresif dan mencetuskan kebimbangan namun golongan bawah 12 tahun sangat terdedah kepada jangkitan.

Menurut beliau, vaksinasi bagi Covi-19 penting dan wajar dipertingkat bagi membentuk perlindungan kendiri khususnya dalam kalangan kanak-kanak yang kini dibenarkan kembali ke sekolah.

“Sebenarnya kes dan kebolehjangkitan banyak lagi, cuma tidak macam dahulu. Tetapi, elok ambil vaksin sebagai perlindungan pada masa akan datang. Kalau biarkan, tiada perlindungan, apabila datang varian baharu mula gelabah. Jadi, mengapa tidak anda ambil vasin?

“Saya faham cabarannya dari segi meyakinkan orang awam kerana ada beranggapan sudah tidak perlu sebab kes tidak teruk, kesan sampingan vaksin dan gerakan anti vaksin yang masih meneruskan agenda mereka untuk tidak mengambilnya,” kata beliau.

Melihat perkembangan itu, kata beliau, kerajaan perlu mempromosi semula program vaksinasi bagi memastikan Covid-19 tidak mengancam semula.

Setiausaha Agung Persatuan Pediatrik Asia Pasifik (APPA) yang juga pakar perunding pediatrik dan kardiologi pediatrik, Datuk Dr. Zulkifli Ismail berkata, vaksinasi Covid-19 terhadap kanak-kanak harus dipertingkatkan selepas golongan itu terlalu kecil mengambil vaksin sama ada dos pertama atau dos kedua.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Program Immunise4Life (IFL) itu berkata, keadaan tersebut tidak membimbangkan kerana jangkitan Covid-19 ketika ini kurang virulen (ganas) dan tidak serancak dua tahun lalu.

“Namun kita perlu galakkan kanak-kanak diberi vaksin. Jika lebih ramai diberi vaksin Covid-19, maka lebih kuat perlindungan jangkitan tetapi tidak perlu banyak stok. Masalah jangkitan sekarang ialah influenza, jadi, vaksin untuk influenza yang harganya lebih murah patut digalakkan.

“Imuniti kelompok melalui imunisasi pula masih relevan, tetapi tidak realistik. Kita tidak akan dapat liputan vaksin lebih 90 peratus dan tidak boleh fikir Covid-19 sama seperti demam campak dan jangkitan lain. Mutasi virus ini telah membuatnya kurang virulen dan kurang perpindahan daripada seseorang kepada yang lain,” katanya.

Ketika PICKids, Kementerian Kesihatan menyasarkan 50 peratus daripada 3.6 juta kanak-kanak disasarkan menerima dos pertama vaksin pada akhir Februari 2022.

Hanya 33 peratus kanak-kanak telah lengkap dua dos vaksin sejak PICKids dilancar pada bulan sama.

Ironinya, Kementerian Kesihatan belum mewajibkan kanak-kanak mendapatkan vaksinasi dan ia hanya ditawarkan di klinik kesihatan dan swasta yang masih beroperasi sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) secara berbayar.

Sedangkan, Kementerian Kesihatan memberitahu, kanak-kanak juga terdedah kepada risiko jangkitan Covid-19, khususnya varian Omicron yang lebih mudah berjangkit dan meletakkan mereka yang belum divaksinasi dalam kategori berisiko.

Selain itu, KKMNOW merekodkan, separuh daripada negeri-negeri di seluruh negara masih berada jauh di bawah capaian 50 peratus vaksinasi kanak-kanak, menyaksikan Kelantan paling rendah dengan hanya 16 peratus bagi dos pertama dan 13.8 peratus dos kedua.

Untuk dos pertama sahaja, Terengganu mencatat 20.4 peratus; Perlis (31.5); Kedah (34.1); Sabah (34.4); Pahang (39.6) dan Perak (49.9). Negeri yang merekodkan lebih 50 peratus vaksinasi kanak-kanak dos pertama iaitu Pulau Pinang (53.1); Labuan (55.4); Negeri Sembilan (55.7); Johor (56.6); Selangor (57.5); Kuala Lumpur (57.5) dan Melaka (64.9).

Hanya Sarawak mencatatkan vaksinasi penuh iaitu 101 peratus bagi dos pertama dan 90.9 peratus bagi dos kedua. – UTUSAN

Statistik golongan kanak-kanak yang divaksinasi:

Dos 1: 49.8 % (1.76 juta kanak-kanak)
Dos 2: 43.3 % (1.53 juta kanak-kanak)
Dos penggalak 1: 0.2%
Dos penggalak 2: 0.0%

Negeri                                 Dos 1 (%)             Dos 2 (%)           Dos penggalak 1 (%)
Malaysia                              49.8                      43.3                    0.2
Johor                                   56.6                      50.9                    0.2
Kedah                                  34.1                      29.0                    0.0
Kelantan                              16.0                      13.8                    0.0
Melaka                                 64.9                      57.6                   0.1
Negeri Sembilan                  55.7                      49.0                   0.1
Pahang                                 39.6                      33.8                   0.1
Perak                                    49.9                      43.0                   0.1
Perlis                                    31.5                      25.8                   0.0
Pulau Pinang                       53.1                       47.7                   0.1
Sabah                                  34.4                       26.9                   0.2
Sarawak                              101.0                      90.9                   0.7
Selangor                              57.5                       50.0                   0.3
Terengganu                         20.4                       17.2                   0.0
Kuala Lumpur                      57.5                       50.0                   0.3
Labuan                                 55.4                      44.0                   0.1
Putrajaya                              57.5                      50.0                   0.3

Sumber: KKMNOW

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN