KUALA LUMPUR: Sebanyak 42 kes penggunaan nama dan kad pengenalan (Mykad) individu lain untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri hari ini direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Selangor merekodkan jumlah kes tertinggi iaitu dengan 16 laporan polis diterima diikuti Kedah (9 kes) ; Pulau Pinang (8 kes) ; Negeri Sembilan (3 kes) dan Kelantan sebanyak satu kes.
Kata beliau, kesemua kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 7 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“Kita (polis) jangka ada banyak lagi laporan mungkin diterima berkaitan penggunaan Mykad ini oleh individu lain selepas ini.
“Perkara ini mungkin berlaku berikutan disyaki ada kes pemalsuan Mykad,” katanya dalam sidang akhbar khas di Bukit Aman di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata beliau, sepanjang tempoh mengundi hari ini, satu kes turut direkodkan pihaknya membabitkan mencetak apa-apa bahan menyerupai kertas untuk digunakan atau mungkin diguna dalam pilihan raya.
“Laporan membabitkan kes itu dibuat di Pulau Pinang dan siasatan akan dibuat mengikut Seksyen 3 (1) (m) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“Selain itu, kita juga ada menerima masing-masing satu kes menghalang penjawat awam, khianat bendera dan menunjukkan logo parti di Kelantan.
“Kesemua kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 186, Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 26 (1) Kesalahan Pilihan Raya 1954,” jelasnya.-UTUSAN