30 ahli UMNO ikrar sokong PN di Selat Klang - Utusan Malaysia

30 ahli UMNO ikrar sokong PN di Selat Klang

UMNO
ABDUL Rashid Asari (duduk, dua kiri) bergambar bersama sekumpulan ahli UMNO yang hadir bagi menyatakan sokongan kepadanya dekat Telok Gadong di Klang, Selangor, semalam. - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Kira-kira 30 ahli UMNO cawangan Telok Gadong Kecil, di sini berikrar menyokong Perikatan Nasional (PN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) N.44 Selat Klang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Bagaimanapun, mereka memaklumkan masih kekal sebagai ahli UMNO namun berjanji untuk menyokong calon PN di situ, Datuk Abdul Rashid Asari selepas tanda protes terhadap kepimpinan parti yang didakwa sudah lari daripada pegangan asalnya.

Wakil kumpulan itu, Norani Hussein, 75, berkata, dia terpaksa mengambil keputusan tersebut kerana sudah tidak percaya dengan kepimpinan UMNO yang banyak mungkir janji daripada ketetapan yang mereka buat sebelum ini. 

“Sebelum ini, kepimpinan parti menyatakan mereka tidak akan bekerjasama dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan parti DAP.

“Tetapi kini apa sudah jadi. Mereka bekerjasama pula untuk menjadi Kerajaan Persekutuan dan saya percaya ramai ahli akar umbi tidak bersetuju dengan tindakan kepimpinan UMNO,” katanya ketika berucap pada Majlis Menyokong PN Selat Klang di Telok Gadong, semalam.

Tambah salah seorang pengasas UMNO Cawangan Telok Gadong Kecil itu, ramai ahli parti di cawangan berkenaan menyatakan hasrat untuk mengundi Abdul Rashid minggu hadapan, namun sebelum ini tidak menyatakannya secara terbuka.

Ditanya sama ada akan keluar dari UMNO, Bagaimanapun, Noraini memaklumkan beliau bersama ahli parti yang hadir akan mempertimbangkan keputusan untuk meninggalkan parti tersebut selepas pilihan raya nanti.

Sementara itu, Abdul Rashid ketika ditemui memaklumkan melihat situasi ini sebagai satu kelebihan kepadanya untuk mempertahankan DUN Selat Klang bagi penggal kedua.

Malah, beliau yakin ramai ahli UMNO di Selat Klang akan mengundinya pada minggu hadapan disebabkan tindakan parti itu sendiri yang menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri.

“Kami mengalu-alukan ahli UMNO yang hadir pada majlis ini untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu),” ujar Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Selangor itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya