200 cebisan, anggota badan tentu identiti mangsa tragedi Elmina

200 cebisan, anggota badan tentu identiti mangsa tragedi Elmina

RAZARUDIN Hussain (tengah) berbincang sesuatu di lokasi kejadian pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Ujian deoksiribonukleik (DNA) akan dijalankan terhadap kira-kira 200 cebisan serta anggota badan yang ditemukan di lokasi kejadian jet eksekutif terhempas di Elmina, di sini kelmarin bagi menentukan identiti mangsa.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussain berkata, kesemua anggota dan cebisan mayat itu antaranya tangan, kepala serta kaki mangsa nahas terbabit .telah diserahkan kepada Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat.

“Pihak forensik akan buat bedah siasat terhadap anggota badan manakala 200 cebisan mayat yang ditemukan itu akan dihantar ke Jabatan Kimia.

“Forensik juga telah mengambil semua asid deoksiribonukleik (DNA) 22 waris mangsa untuk dipadankan dengan anggota badan mangsa yang ditemukan,” katanya dalam sidang akhbar di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, semalam.

Bagaimanapun, menurut Razarudin, proses pemadanan dan pengecaman mayat itu dijangka mengambil masa yang lama.

“Jabatan Kimia perlukan antara satu hingga tiga jam untuk mengenal pasti setiap satu daripadanya. Proses sama terpaksa diulang-ulang supaya padanan dapat dilakukan dengan tepat.

“Paling awal jenazah dapat dibawa keluar adalah pada Isnin depan,” katanya dalam sidang akhbar di luar pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, dekat sini semalam.

Razarudin berkata, sebaik sahaja proses bedah siasat selesai jenazah mangsa akan diuruskan oleh pihak hospital bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan kerajaan negeri Selangor untuk urusan selanjutnya.

Menurutnya, identiti pemandu kereta terlibat juga sudah dikenalpasti sebagai pemandu e-hailing yang memandu sendirian dan tidak membawa penumpang selepas semakan dengan syarikat berkaitan dilakukan.

“Kita sudah semak dengan Grab dan dia memang reject penumpang dari pukul 2 petang, jadi kita syak dia seorang diri.

“Tetapi ujian DNA nanti baru kita tahu ada terlebih atau tidak, dari situ unit forensik akan tentukan. Buat masa ini kita anggap pemandu kereta seorang sahaja,” ujarnya.

Dalam nahas ngeri kira-kira pukul 2.40 petang kelmarin itu, 10 individu disahkan meninggal dunia dengan lapan daripadanya adalah juruterbang dan penumpang pesawat ringan tersebut.

Dua lagi mangsa adalah seorang pemandu dan penunggang e-hailing yang ketika nahas melalui lokasi kejadian.

Antara penumpang pesawat yang maut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Seri Johari Harun.

Ketika kejadian, pesawat dengan nombor pendaftaran N28JV itu dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Kedah ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang.

Pesawat itu dikesan melencong ke kanan dari laluan penerbangan dengan siasatan awal mendapati pesawat berkenaan sudah mendapat kebenaran untuk mendarat daripada menara kawalan LTSAAS. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN