15 daripada 52 Tawaran Kita Selangor curi tumpuan pengundi - Utusan Malaysia

15 daripada 52 Tawaran Kita Selangor curi tumpuan pengundi

Tawaran Selangor
AMIRUDIN Shari bersama pimpinan parti PH-BN dan calon PRN menunjukkan tapak tangan sebagai simbolik untuk pentadbiran lagi lima tahun selepas mengumumkan Tawaran Kita Selangor: Lima Tekad Untuk Lima Tahun di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sebanyak 15 daripada 52 tawaran dilihat mengujakan penyokong Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) yang merangkumi sektor pendidikan, pembangunan ekonomi, pertanian, keagamaan, prasarana, perumahan dan sukan.

Kesemua tawaran tersebut dibentangkan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, yang menerangkan Tawaran Kita Selangor Lima Tekad Untuk Lima Tahun bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Menurut beliau asas kepada tawaran yang akan dilaksanakan jika PH bersama BN kembali mentadbir negeri ini adalah hasil kejayaan dan kesinambungan pimpinan negeri terdahulu untuk diteruskan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ini semua berjaya menyambung kemajuan negeri dan kita menyambung kerja baik ditinggalkan oleh BN puluhan tahun lepas. Saya percaya kita boleh gabungkan di antara pengalaman silam dengan idea dan garapan baharu yang kita laksanakan.

“Sehingga menjadikan Selangor sebagai negeri perpaduan yang mengetengahkan kestabilan, menjaga keharmonian, makmur, maju dan moden serta tidak ketinggalan menjaga rakyat dengan baik, semuanya mendapat nikmat,” katanya ketika berucap pada pelancara Tawaran Kita Selangor: Lima Tekad Untuk Lima Tahun, hari ini.

 

Ekonomi Unggul dan Pendidikan Berkualiti, Pemangkin Peluang Pekerjaan Berpendapatan Tinggi

Daripada tawaran tersebut, 15 dikenalpasti menarik perhatian dan mendapat tepukan gemuruh daripada penyokong yang hadir iaitu hasrat kerajaan negeri untuk mewujudkan 100,000 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.

Menurut Amir, tawaran tersebut diyakini mampu dilakukan apabila dalam tempoh penggal lepas lebih 89,000 pekerjaan ditawarkan menerusi pelbagai program anjuran kerajaan negeri di bawah pimpinannya.

Selain itu, beliau yang juga Pengerusi PH Selangor mengulangi hasrat mewujudkan jaringan laluan rel seperti Aliran Transit Massa (MRT) dan Aliran Transit Ringan (LRT) menghubungkan Klang ke Kuala Selangor dan Tanjong Karang ke Sabak Bernam.

Malah, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) N.16 Sungai Tua itu menjanjikan sambungan laluan KLIA Express sehingga ke Tanjong Sepat dan Sungai Pelek, Sepang.

Turut ditawarkan adalah peluang kepada 10,000 anak muda di negeri ini untuk menyertai latihan TVET dengan kerjasama syarikat seperti Apple, Siemens, Festo dan Dassault Systemes di bawah Selangor Training & Development Centre (STDC).

Selain itu, kerajaan negeri juga berhasrat menawarkan Bantuan Mahasiswa Kita Selangor berjumlah RM1,500 kepada setiap mahasiswa, baucer pembelian buku RM200 kepada anak muda dan peluang latihan industri dengan bayaran RM1,500 kepada bagi 2,000 individu.

Kesemua tersebut ditawarkan di bawah tekad pertama iaitu ‘Ekonomi Unggul dan Pendidikan Berkualiti, Pemangkin Peluang Pekerjaan Berpendapatan Tinggi.

 

Agama sebagai Cahaya dan Inspirasi Kehidupan Bermaruan di Selangor

Di bawah tekad kedua, ‘Agama sebagai Cahaya dan Inspirasi Kehidupan Bermaruan di Selangor’, Amirudin bersama pasukannya menawarkan subsidi tambang dan kos mengerjakan haji berjumlah RM2,000 kepada 3,000 jemaah muassasah kali pertama.

Dalam tekad sama, juga beliau berjanji untuk meningkatkan elaun imam, bilal, siak dan nazir masjid secara berperingkat antara RM500 hingga RM1,600.

 

Perkhidmatan Kerajaan Yang Cekap dan Efisien

Menerusi tekad ketiga, ‘Perkhidmatan Kerajaan Yang Cekap dan Efisien’, kerajaan negeri berhasrat mewujudkan pentadbiran Greater Klang Valley yang melibatkan Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam dan Klang sebagai model pentadbiran baharu yang mampan dan berteknologi tinggi.

 

Pembangunan Mampan, Selesa dan Berdaya Huni

Sementara di bawah tekad keempat, ‘Pembangunan Mampan, Selesa dan Berdaya Huni’, Amirudin berjanji untuk membina 200,000 rumah mampu milik berharga RM250,000 ke bawah dalam tempoh lima tahun.

Beliau yakin, pembinaan tersebut dapat dilakukan berdasarkan kemampuan kerajaan negeri membina 171,000 rumah mampu milik dalam penggal lepas, meskipun berdepan dengan cabaran pandemik Covid-19.

Selain itu, beliau juga mahu membina 10,000 rumah kepada penjawat awam yang berkhidmat di negeri ini.

Sementara itu, sektor sukan di bawah tekad sama, Amirudin yang juga Naib Presiden PKR menyasarkan skuad bolah sepak negeri ini kembali menjuarai Piala Malaysia, Liga Super pada 2025 dan Piala AFC pada 2027 selain cemerlang dalam Sukan Malaysia (Sukma).

Bagi kemudahan pengguna kereta elektrik, Amirudin mahu mewujudkan 5,000 pusat pengecasan berkuasa tinggi di seluruh negeri bagi kegunaan kenderaan tersebut di kawasan awam dan melaksanakan lorong hijau bagi menyelaraskan pemasangan stesen pengecasan di kawasan perumahan.

 

Selangor Negeri Penyayang yang Membela Kepentingan Rakyat

Di bawah tekad terakhir, ‘Selangor Negeri Penyayang yang Membela Kepentingan Rakyat’, inisiatif kerajaan negeri menawarkan insentif RM1,000 setahun kepada wanita yang perlu menghantar anak ke pengasuh bagi mengurangkan beban mereka.

Selain itu, jumlah sama juga akan diberikan kepada petani dan pesawah disamping bantuan baja, benih dan racun serangga berkualiti tinggi bagi meningkatkan hasil jualan.

Turut diberikan bantuan pada jumlah tersebut adalah bagi bantuan khairat kematian kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama sebanyak RM1,000 kepada waris.

Tidak ketinggalan adalah pemandu e-hailing apabila Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) yang sebelum ini dikhaskan kepada penghantar barang dan makanan (p-hailing) diperluaskan bagi kumpulan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya