SHAH ALAM: Sektor pelancongan yang berupaya menjana pendapatan sehingga RM30,000 sebulan menyebabkan ramai pemilik atau pengusaha sawah padi di sekitar Sabak Bernam beralih ke sumber ekonomi tersebut daripada pertanian.
Malah potensi tersebut bukan sesuatu yang baharu untuk diterokai, sebaliknya sudah dilakukan sejak 20 tahun lalu termasuk melalui rangsangan-rangsangan pernah ditawarkan oleh kerajaan negeri sebelum ini.
Justeru dalam tempoh tersebut pembukaan rumah inap atau homestay berkembang sehingga melibatkan keluasan sehingga kira-kira 176.04 hektar atau bersamaan dengan 145 petak sawah padi berbanding keluasan keseluruhan bendang di negeri ini sekitar 18,480 hektar.
Menurut Pengerusi Persatuan Pelancongan Sabak Bernam, Subani Marzuki, di Selangor khususnya di Sabak Bernam adalah antara tumpuan sektor pelancongan pertanian atau agrotourism yang menjana pendapatan lumayan.
“Di Sabak Bernam terdapat dua lokasi rumah inap ataupun resort iaitu di dalam ladang kelapa sawit dan juga sawah padi. Namun, di kawasan sawah padi paling mendapat permintaan kerana pemandangannya unik.
“Terdapat 80 pengusaha yang berdaftar dengan persatuan, kira-kira 50 di kawasan sawah padi, selebihnya di kawasan seperti ladang kelapa sawit serta pantai dan kelong untuk kaki pancing,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Beliau menambah, tawaran pendapatan dalam sektor tersebut adalah lebih baik berbanding pertanian, namun tidak keseluruhan kawasan dibangunkan sebagai rumah inap atau resort.
“Setiap pengusaha mengusahakan sebahagian daripada sebidang tanah sawah yang mereka miliki, iaitu tiga ekar (1.2 hektar) bagi setiap petak. Kebanyakan pengusaha hanya membangunkan separuh daripada setiap hektar untuk dijadikan rumah inap atau chalet dengan kuantiti antara satu hingga lima bilik.
“Ada kira-kira 10 pengusaha mengusahakan satu petak sawah padi sepenuhnya untuk dibangunkan sebagai rumah inap yang boleh memuatkan sehingga 30 bilik dan sentiasa penuh pada setiap hujung minggu,” jelasnya.
Sementara itu, dalam tinjauan pemberita di sekitar kawasan sawah padi seperti di Tanjong Karang, Kuala Selangor dan Sungai Panjang, Sabak Bernam, selain mengusahakan homestay dan resort, terdapat pengusaha menjadikan sebahagian sawah padi sebagai aktiviti untuk tarikan pelancong.
Antara aktiviti tersebut adalah litar untuk penggemar sukan lasak iaitu pemanduan kenderaan pelbagai permukaan (ATV) serta kawasan berlumpur untuk acara sukaneka seperti ‘menggagau’ iaitu menangkap ikan keli, puyu dan belut.
Dalam pada itu, Subani turut memaklumkan galakan daripada kerajaan negeri pernah dilaksanakan ketika zaman pentadbiran Dr. Mohd. Khir Toyo yang menjadikan pelancongan agro sebagai sektor kedua selepas pertanian di sana.
“Apa yang dilakukan dahulu adalah sebagai galakan kepada petani atau pesawah untuk mencuba bidang lain sebagai sumber pendapatan baharu mereka di samping terus mengusahakan pertanian mereka.
“Jadi, mereka tidak lagi bergantung kepada pertanian seperti sawah padi yang menawarkan pendapatan antara RM500 hingga RM1,000 sebulan dan ditambah pula dengan pendapatan daripada sektor pelancongan iaitu perkhidmatan rumah inap sehingga RM30,000 sebulan,” katanya. – UTUSAN










