PUTRAJAYA: Kira-kira 1.3 penjawat awam dan lebih sejuta pesara menerima masing-masing sebanyak RM300 dan RM200 hari ini menerusi Bantuan Khas Penghargaan (BKP) seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Julai lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat berkata, pemberian BKP adalah manifestasi penghargaan kerajaan terhadap pengorbanan perkhidmatan awam yang menjadi tulang belakang kepada pentadbiran negara.
Atas dasar tersebut, kata beliau, penjawat awam wajar menterjemahkan apresiasi dengan memberikan kualiti penyampaian perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara agar kemakmuran yang dinikmati ketika ini berterusan.
“Sebagai penjawat awam, CUEPACS dan seluruh warga perkhidmatan awam akan terus berusaha gigih menyokong hasrat kerajaan melaksanakan pembaharuan dalam urusan pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“CUEPACS melihat pemberian ini sebagai komitmen awal kerajaan dalam usaha untuk menyemak semula skim gaji perkhidmatan awam dalam masa terdekat,” katanya di sini semalam.
Menurut Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Dr. Zulkapli Mohamed, bayaran sebanyak RM300 akan diberikan kepada pegawai perkhidmatan awam kumpulan pengurusan dan profesional serta kumpulan pelaksana Gred 56 dan ke bawah, termasuk pegawai dan lantikan kontrak.
Penerima BKP turut dipanjangkan kepada pesara kerajaan, termasuk pesara berpencen, penerima pencen terbitan, pesara Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, pesara bersara pilihan dan belum menerima pencen, veteran berpencen serta tidak berpencen yang akan menerima sebanyak RM200.
Dalam pada itu, Adnan berkata, penjawat awam perlu memberikan ruang dan kepercayaan kepada Perdana Menteri memacu negara ke arah lebih baik atas komitmen beliau menyemak semula skim gaji perkhidmatan awam.
Namun, CUEPACS berharap kerajaan tidak melengahkan kajian semakan gaji itu dan dapat diumumkan Perdana Menteri dalam masa terdekat memandangkan perkara ini sudah menjadi pertanyaan dalam kalangan warga penjawat awam.
“Usaha Perdana Menteri ini dapat memastikan manfaat tersebut dinikmati oleh penjawat awam yang begitu terkesan dengan peningkatan kos sara hidup, apatah lagi sistem saraan perkhidmatan awam ketika ini masih menggunakan Sistem Saraan Malaysia yang dilaksanakan sejak 1 November 2002 dan hanya ditambah baik,” katanya. – UTUSAN










