ALOR SETAR: Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universitas Islam Negeri (UIN) Indonesia memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bagi meningkatkan keboleh pasaran program akademik demi pembangunan sektor pendidikan tinggi masing-masing.
Malah, MoA melibatkan UUM dengan UIN Sunan Ampel Surabaya dan UIN Raden Fatah Palembang itu juga antara lain bagi membolehkan pelajar Indonesia mengikuti pengajian di peringkat sarjana di UUM melalui tajaan Kementerian Agama Indonesia (Kemenag).
UUM diwakili Naib Canselornya, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan, manakala UIN Sunan Ampel Surabaya diwakili Rektornya, Prof. Akh. Muzakki dan UIN Raden Fatah Palembang pula diwakili Prof. Dr. Nyayu Khodijah selaku Rektor.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyaksikan majlis berkenaan yang disempurnakan di Jakarta, Indonesia. Turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman.
Sementara itu, Mohd. Foad berkata, pemilihan UUM adalah pengiktirafan kepada universiti itu di arena antarabangsa.
“Pelajar yang layak bakal menerima tajaan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran dan menimba pengalaman di peringkat antarabangsa dalam usaha untuk membangunkan modal insan yang holistik, mempersiap pemimpin, pendidik dan profesional masa depan buat negara ’Garuda’ itu.
“Kumpulan pertama pelajar tajaan Kemenag ke UUM bermula pada kemasukan September 2023. Setiap pelajar akan mengikuti satu tahun pengajian sarjana di UUM dan seterusnya akan menyambung setahun lagi pengajian sarjana di UIN terlibat.
“Ianya sekali gus melayakkan mereka dianugerahkan dua sijil sarjana dari dua universiti berkenaan sekiranya berjaya melengkapkan pengajian dalam tempoh dua tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, antara pusat pengajian daripada UUM yang terlibat dalam kerjasama akademik itu adalah Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) dan Pusat Pengajian Pendidikan (SOE).
Untuk rekod, pada 29 Mei lalu, UUM menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama tiga UIN lain iaitu UIN Ar-Raniy Banda Aceh, UIN Mataram dan UIN Sunan Gunung Djati Bandung yang menjadikan keseluruhan lima UIN Indonesia bekerjasama dengan UUM. –UTUSAN










