SEPANG: Tindakan sekumpulan pelajar sekolah yang menunggang motosikal dengan pelbagai aksi berbahaya mengundang padah apabila mereka ditahan polis dalam Op Didik Khas di Lahar Kepar, di sini, pagi tadi.
Operasi bermula pukul 11.45 pagi berdekatan stadium mini Arena Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) itu berjaya menahan 12 motosikal selain 21 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
Kesemua pelajar yang ditahan itu turut diarahkan menolak motosikal masing-masing ke Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara dengan jarak hampir dua kilometer (km).
Sebelum itu, sepasukan anggota polis terlebih dahulu mengintip aktiviti itu sebelum operasi dilaksanakan.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, operasi itu dilakukan hasil aduan orang awam yang mendakwa kerap diganggu bunyi bising oleh sekumpulan pelajar.
Beliau berkata, seramai 12 anggota dikerahkan ke lokasi aduan dan membuat pemeriksaan terhadap sekumpulan pelajar sekolah yang sedang berkumpul serta menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar.
“Kami menahan pesalah lalu lintas itu serta membawa balik ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Sepang untuk tindakan selanjutnya.
“Kami juga bertemu dengan ibu bapa dan penjaga pesalah lalu lintas (pelajar sekolah) itu serta mengambil keterangan.
“Kami turut menasihati ibu bapa pelajar sekolah supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, pihaknya juga tidak teragak agak membuat tindakan lebih tegas lagi bagi sesiapa yang menyalahi undang- undang dan melanggar peraturan lalu lintas serta mengganggu ketenteraman awam. – UTUSAN