PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai seorang negarawan patut sedar kepentingan kepelbagaian perpaduan kaum di negara ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata, kenyataan bekas Perdana Menteri selama 23 tahun itu yang mana beliau tidak pernah mempertikai status Malaysia sebagai sebuah negara berbilang bangsa dan kaum dalam tempoh tersebut adalah amat dikesali.
Katanya, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu sendiri telah mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang bangsa dan kaum dalam tempoh yang sama.
“Tambahan, sebagai seorang bekas Perdana Menteri selama lebih dua dekad, sudah tentunya Tun Dr. Mahathir mempunyai akses kepada nasihat guaman melalui Peguam Negara dan oleh yang demikian, sedar akan kedudukan undang-undang berkenaan perkara ini.
“Dalam keadaan di atas, adalah jelas bahawa Tun Dr. Mahathir semenangnya cakna bahawa kenyataannya tersebut adalah langsung tidak berasas.
“Sebagai seorang negarawan yang berpengalaman, Tun Dr. Mahathir sepatutnya sedar betapa pentingnya frasa unity in diversity should be our strength and not our shame (perpaduan dalam kepelbagaian harus menjadi kekuatan kita dan bukan keaiban kita) di Malaysia sepertimana dinyatakan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan, (Tan Sri) Zainun Ali di dalam kes Indira Gandhi dan mengambil iktibar daripada frasa tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, media melaporkan, Dr. Mahathir mendakwa mempromosikan negara berbilang bangsa bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang menekankan elemen ‘kemelayuan Malaysia’, selepas beliau diminta berhenti memainkan sentimen perkauman.
Mengulas lanjut, Ramkarpal berkata, agama Islam di Malaysia merupakan agama rasmi Persekutuan yang tidak pernah dipertikai dan hal itu sememangnya termaktub di dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.
Malah, katanya, Mahkamah Persekutuan dalam kes Dhinesh Tanaphll lawan Lembaga Pencegahan Jenayah & Ors pada 2022 telah menyatakan bahawa Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan berhubung agama merupakan sebahagian daripada struktur asas Perlembagaan Persekutuan yang tidak boleh dipinda oleh Parlimen melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan.
Ujarnya, sebarang pindaan sedemikian yang mempunyai kesan mengubah struktur asas Perlembagaan negara adalah tidak berperlembagaan.
“Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan turut memperuntukkan bahawa agama selain agama Islam juga boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.
“Ini bermakna, kewujudan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan membuktikan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum, budaya dan agama,” katanya.
Selain itu, jelasnya, sebagaimana yang dinyatakan oleh Perlembagaan Persekutuan, Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan melarang sebarang diskriminasi terhadap mana-mana warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan turut memberikan tiap-tiap orang hak untuk menganuti dan mengamalkan agamanya.
“Kesemua peruntukan Perlembagaan Persekutuan di atas, setelah dibaca bersama, mencerminkan pengiktirafan bahawa Malaysia merupakan satu negara yang berbilang kaum, budaya dan agama,” katanya. – UTUSAN