Tujuh ikhtiar awal realisasi Naratif Ekonomi Madani

Tujuh ikhtiar awal realisasi Naratif Ekonomi Madani

ANWAR Ibrahim (tengah) ketika hadir pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2024 di Kementerian Kewangan Presint 2, Putrajaya di sini, hari ini.-UTUSAN/FAIZ ALIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan mengumumkan beberapa langkah penting dan segera sebagai ikhtiar awal untuk merealisasikan Naratif Ekonomi Madani sebelum dibentangkan Belanjawan Madani Dua 2024.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia merupakan langkah khusus dalam menyegerakan pelaksanaan projek cakna rakyat walaupun kerajaan sudah membelanjakan sebanyak RM188 bilion atau bersamaan 49 peratus daripada peruntukan Belanjawan 2023 iaitu lebih tinggi ketimbang perbelanjaan sebenar tempoh sama 2022 sebanyak RM170 bilion.

Sebahagian program sudah dilaksanakan sebelum ini iaitu memberi pemusatan kuasa, peruntukan tambahan, dan kelonggaran tatacara perolehan yang boleh mempercepat pelaksanaan projek.

Menurut beliau, antara program baharu ialah menambah peruntukan untuk pelaksanaan projek-projek kecil di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) sebanyak RM100 juta menjadikan keseluruhan untuk tahun 2023 berjumlah RM400 juta.

Selain itu ialah menambah peruntukan penyelenggaraan dan pembaikan sekolah di bawah Kementerian Pendidikan sebanyak RM600 juta menjadikan keseluruhan untuk tahun 2023 RM1.5 bilion.

“Kerajaan turut bersetuju untuk menyalurkan sebahagian peruntukan penyelenggaraan kepada  Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi melaksanakan projek penyelenggaraan kecil di sekolah kerajaan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2024, di sini hari ini. 

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, berhubung aspek peluang pekerjaan dan meraih pendapatan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menyediakan 35,000 peluang pekerjaan akan turut mengambil lepasan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)bekerja.

Bagi menunjuk teladan yang baik, Kementerian Kewangan menetapkan secara dasar supaya semua syarikat GLC yang mengambil pelajar yang menjalani praktikal atau latihan industri untuk membayar elaun perantisan minimum RM800 sebulan.

“Bank Simpanan Nasional (BSN) akan meluncurkan Program Geran Padanan Pendigitalan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan peruntukan RM100 juta pada bulan depan. 

“Sejumlah peruntukan juga dikhususkan untuk menggalakkan penjaja kecil aktif dalam pemasaran digital serta melanggan aplikasi pendigitalan perniagaan seperti sistem jualan pos, perakaunan dan pengurusan inventori,” katanya. 

Dalam pada itu, Anwar turut memaklumkan, kerajaan turut menekankan soal Perlindungan Sosial Untuk Rakyat Memerlukan antaranya dengan menanggung 80 peratus daripada nilai caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menggalakkan pekerja gig membuat caruman dengan peruntukan RM100 juta.

Katanya, Skim Perubatan Madani turut diperkenalkan khusus untuk golongan B40 mendapat rawatan di klinik dan pengamal perubatan am swasta (GP) dengan peruntukan RM100 juta. 

Melihatkan kepada sambutan yang amat menggalakkan dan keberkesanan skim ini, katanya, kerajaan bersetuju untuk memperluaskan pelaksanaan ke tujuh negeri lagi di bandar dengan kependudukan tinggi seperti Klang, Johor Bahru dan Kuching.

“Sebagai tambahan, lebih 200,000 penerima Sumbangan Tunai Rahmah yang dikategorikan sebagai miskin tegar berdasarkan data e-kasih akan turut menerima Sumbangan Asas Rahmah (SARa) mulai Isnin ini berjumlah RM600 bagi mendapatkan keperluan barangan makanan asas. 

“Perincian berhubung Program SARa akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Ini merupakan sebahagian pengumuman baharu, sebagai langkah segera sebelum pelancaran Memperkasa Ekonomi Madani yang menyeluruh,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN