ALOR SETAR: Tujuh individu yang merupakan ejen Jabatan Kastam Diraja Malaysia ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat dalam kegiatan mengurangkan duti kereta mewah secara tidak sah.
Difahamkan, kegiatan sindiket tersebut menyebabkan ketirisan cukai kastam yang berjumlah kira-kira RM33 juta.
Kesemua suspek lelaki berusia lingkungan 30-an hingga 60-an itu ditahan di Pejabat SPRM Kedah antara pukul 5 petang hingga 10.30 malam, semalam ketika hadir memberi keterangan.

“Mereka dipercayai bersubahat dengan pemilik kereta terlibat mengemukakan dokumen mempunyai maklumat palsu bagi tujuan mendapatkan pengurangan penilaian duti kastam sedangkan kenderaan tersebut tidak layak menerimanya,” kata sumber ketika dihubungi.
Susulan penahanan tersebut, Majistret Nurshahida Abdul Rahim membenarkan kesemua suspek direman empat hari sehingga Isnin depan setelah SPRM mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret Alor Setar, pagi ini.
“Dalam operasi yang dilakukan oleh Bahagian Operasi Khas tersebut, SPRM juga menyerbu beberapa premis perniagaan, pejabat agensi kerajaan serta kediaman di sekitar Lembah Klang, Kedah, Johor, Perak dan Sabah,” tambahnya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Tan Kang Sai mengesahkan penahanan tersebut dan kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. –UTUSAN