Tiket Search terjual 60 peratus walau konsert bertindih PRN - Utusan Malaysia

Tiket Search terjual 60 peratus walau konsert bertindih PRN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan rock terkenal, Search tetap optimis walaupun tarikh konsert Fantasia Bulan Salju bertindih dengan Pilihan Raya Negeri.

Menurut ahlinya, Nasir, Search telah melakukan perbincangan dengan pihak penganjur, MIC Entertainment Group dan sepakat untuk meneruskan konsert yang bakal berlangsung di Arena of Stars, Resorts World Genting pada 12 Ogos.

Walaupun PRN dan Konsert Fantasia Bulan Salju jatuh pada tarikh yang sama, tiket konsert sudah terjual sehingga 60 peratus dan dianggarkan bakal habis dibeli dalam tempoh beberapa minggu lagi.

“Pertimbangan yang dibuat ialah lokasi konsert diadakan di Genting, Pahang yang tidak terlibat dengan PRN.

“Kedua, kami tidak boleh nak tangguh konsert ini kerana para pembeli tiket sudah menempah tiket penerbangan dan tempat penginapan.

“Ketiga ialah tempoh tamat waktu mengundi. Kami tahu dalam tengahari semua sudah siap mengundi. Nak naik ke genting pula hanya memakan masa hanya sejam,” jelas Nasir ketika ditemui Utusan Malaysia di sidang media konsert Fantasia Bulan Salju, sebentar tadi.

Namun begitu, pihak penganjur, MIC Entertainment Group turut menghormati keputusan peminat yang mahu pulang mengundi dan tidak berkesempatan menghadiri konsert.

Oleh itu, pihaknya akan membuat proses bayaran balik yang bakal diumumkan caranya kelak.

“Semestinya kami menghormati keputusan peminat yang tidak berkesempatan untuk ke konsert itu nanti.

“Kami sudah cuba yang terbaik untuk konsert ini. Jika mereka ingin refund, mereka boleh berbuat demikian,” kata Brian Lim, Ketua Pegawai Eksekutif MIC Entertainment Group.

Search yang dianggotai Amy, Hillary Ang, Nasir dan Man Kidal dipilih sebagai artis dan kumpulan rock tempatan Melayu pertama yang membuat konsert di lokasi berprestij Arena of Stars, Resorts World Genting.

Dalam konsert Fantasia Bulan Salju itu nanti, Search bakal mendendangkan lebih daripada 20 buah lagu.

Tiket sudah mula dijual pada16 Mei 2023 bermula dari RM128.00 sehinggalah RM388.00 (VIP Fantasia).

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Ogos sebagai hari pengundian bagi enam Pilihan Raya Negeri (PRN).

Enam negeri yang terlibat ialah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN