PETALING JAYA: Penganalisis politik berpandangan sikap dan trend pengundi muda yang terlibat dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan, tidak boleh dianggap sebagai kesemuanya ‘bijak’ memilih calon wakil rakyat mereka.
Hal itu kerana, pengundi muda berusia 18 hingga 20 tahun yang kini merekodkan seramai 661,905 orang di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu terbahagi kepada beberapa ragam politik, sama seperti kumpulan pengundi lebih berusia.
Berdasarkan rekod daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pengundi berusia 21 hingga 29 tahun menjadi kumpulan paling ramai di keenam-enam negeri dengan jumlah 2,169,120 pengundi, diikuti pengundi berusia 30 hingga 39 tahun seramai 2,163,982 orang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Profesor Pengajian Tadbir Urus, Pusat Pembangunan Lestari Jeffrey Sachs (JSC), Sunway University, Prof. Wong Chin Huat berkata, adalah mengelirukan jika mengandaikan kesemua pengundi muda bijak membuat keputusan kecuali terdapat sokongan data dan tinjauan kukuh mencakupi kesemua negeri berkenaan.
Katanya, terdapat sekurang-kurangnya empat jenis pengundi termasuk golongan muda iaitu setia kepada parti atau pemimpin tertentu; mementingkan isu dan membuat keputusan mengundi dengan rasional dan teliti.
Selain itu katanya, ada juga jenis pengundi yang celik dengan politik dan membuat keputusan mengundi mengikut ‘gerak hati’ serta mereka yang tidak berminat langsung tentang politik atau dilabel sebagai ‘Parti Aku Malas Undi’ (PAMU).
“Tetapi, kita boleh membuat unjuran munasabah iaitu, berbanding pengundi yang lebih berusia, pengundi muda yang kuat kepartian lebih rendah kerana mereka belum mengundi banyak kali untuk membentuk kesetiaan yang mendalam kepada parti.
“Penjajaran baharu parti-parti yang di kedua-dua pihak Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dan juga Perikatan Nasional (PN) mengelirukan pengundi muda dan mencegah kepercayaan mendalam kepada parti.
“Oleh kerana pendaftaran pengundi automatik membawa masuk hampir lima juta pengundi baru yang kebanyakannya muda (di bawah 40) dan juga kurang berminat tentang politik, jadi, pengundi atas pagar dan PAMU akan tinggi yang mungkin mencecah 50 peratus daripada pengundi muda.
“Maka, parti politik yang paling mahir mendedahkan masalah dan menyediakan polisi yang baik berpotensi memikat hati jenis kumpulan kedua dan ketiga dan sebahagian daripada kumpulan keempat ini. Manifesto yang bervisi dan pragmatik untuk pelaksanaan boleh mencuri hati pengundi tiga kumpulan ini,” katanya ketika dihubungi semalam.
Jelas Chin Huat, bagi pengundi yang membuat keputusan secara rasional, mereka akan lebih peduli mengenai polisi dan isu-isu kritikal seperti peluang pekerjaan, inflasi, pendidikan, kos pengangkutan, keadilan sosial dan bencana alam. – UTUSAN