LANGKAWI: Polis memberi jaminan kawasan Pantai Chenang, di sini selamat dikunjungi serta tidak menjejaskan aktiviti pelancongan susulan insiden bungkusan meletup dan mencederakan seorang wanita warganegara Myanmar, semalam.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, kes letupan yang berlaku itu didapati hanya melibatkan masalah individu.
“Tiada isu melibatkan keselamatan pelancong kerana kes ini melibatkan individu (mangsa) itu sendiri.
“Siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai kerana dengki kepada mangsa dan sehingga kini kita masih mengesan suspek yang terlibat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tambah Shariman, bukan sahaja kawasan sekitar Pantai Chenang, malah keseluruhan pulau pelancongan itu selamat untuk dikunjungi dan tiada masalah bagi pelancong untuk melakukan aktiviti mereka.
Bagaimanapun, beliau berkata, sekiranya terdapat perkara mencurigakan, pengunjung di sekitar Pantai Chenang khususnya boleh memaklumkan kepada pihak polis di Balai Polis Bergerak yang terletak berdekatan dengan Dataran Chenang.
Semalam, akhbar ini melaporkan seorang wanita berusia 26 tahun yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) cedera apabila bungkusan dibukanya tiba-tiba meletup.
Wanita etnik Rohingya yang berasal dari Myanmar tersebut cedera pada muka serta badannya dan kini sedang dirawat di Hospital Sultanah Maliha (HSM).
Sementara itu, seorang saksi, Emmi Melissa Mukhtar, 41, memberitahu, dia mendengar bunyi letupan di sebelah kedai dobi miliknya yang menyerupai mercun bola ketika kejadian, sebelum bergegas memeriksanya kerana didapati bunyinya lebih kuat.
“Pada mulanya saya juga ingatkan bunyi meletup itu disebabkan litar pintas, kerana kedai sebelah ada sambung banyak wayar. Jadi terfikir untuk memadamkan suis utama sebelum berlari keluar.
“Kemudian saya lihat banyak serpihan habuk yang berterbangan daripada kedai sebelah dan turut mendengar suara meminta tolong dari dalam kedai namun tidak berani mendekati kedai tersebut,” katanyanya.
Menurut Emmi Melissa, tidak lama selepas itu, mangsa yang merupakan seorang wanita keluar dari premisnya lantas dia segera menghubungi talian kecemasan. –UTUSAN










