PETALING JAYA: Terdapat keperluan segera dalam menerokai mekanisme dan kaedah baharu bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam yang seterusnya menjadi pemangkin kepada pelaburan sektor swasta, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri menjelaskan, negara harus merancakkan kembali peranan sektor swasta yang merupakan agen utama pembangunan ekonomi tanah air.
“Kesemua inisiatif ini akan dapat menambah baik daya saing negara ke tahap yang lebih tinggi, seiring dengan hasrat kita mengangkat martabat negara di peringkat antrabangsa,” ciapan beliau menerusi akaun Twitter beliau hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri memaklumkan beliau mengadakan pertemuan dengan Presiden dan Pengerusi Pemandu Associates, Datuk Seri Idris Jala.
Firma itu telah terlibat secara langsung dalam program transformasi ekonomi negara dalam dasawarsa yang lalu.
Mengulas lanjut Anwar memberitahu, antara intipati perbincangan itu adalah menyentuh aspek memperkukuh pelaksanaan program kerajaan agar menepati hasrat dan kehendak komuniti perniagaan dan rakyat.
“Begitu juga dengan usaha untuk mempertingkat kerjasama di antara kementerian dan agensi bukan sahaja di peringkat kerajaan Persekutuan, malah merentasi negeri dan pihak berkuasa tempatan.
“Namun ia memerlukan usaha yang lebih untuk ‘break the silos’ bagi memudahcara dan mempercepat pelaksanaan.
“Yang paling utama adalah pemantauan kemajuan pelaksanaan dan ini perlu dijadikan sebagai kayu pengukur prestasi setiap Kementerian,” katanya. – UTUSAN