SHAH ALAM: Urusan penentuan dan pembentukan kerajaan negeri termasuk penentuan kewujudan jawatan Timbalan Menteri Besar di Selangor susulan penggabungan blok Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) disifatkan terlalu awal untuk diputuskan.
Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau menumpukan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) terlebih dahulu dan memastikan kemenangan PH-BN sebelum menentukan perkara berkenaan.
“Itu sangat premature, menang dahulu baharu tetapkan siapa menteri besar, siapa exco. Sementara jawatan timbalan yang dikatakan daripada UMNO itu hanyalah pandangan (Khairy Jamaludin) yang bukan ahli UMNO,” katanya kepada pemberita hari ini.
Penyertaan BN bersama PH dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan yang cuba diterapkan di peringkat negeri ini pada PRN nanti menyebabkan muncul andaian jawatan timbalan menteri besar akan diwujudkan sekiranya gabungan itu menang pada 12 Ogos nanti.
Malah, terdapat ura-ura jawatan tersebut akan diberikan kepada BN sebagai tanda persepakatan antara kedua-dua blok parti itu yang memutuskan tidak bertembung sesama sendiri pada PRN.
Dalam pada itu, Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor memberitahu beliau mengambil maklum berkenaan cadangan Setiausaha Agung DAP untuk mencadangkan penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Banting , Lau Weng San sebagai Speaker jika mereka menang nanti.
Bagaimanapun Weng San tidak diumumkan sebagai calon bagi pilihan raya kali ini termasuk mempertahankan kerusi yang disandangnya.
“Dibolehkan dalam praktis di mana-mana, Datuk Omar Jaafar bukan ADUN (menjadi Speaker), saya rasa tidak salah cuma ia akan diputuskan dalam kesepakatan perpaduan khususnya selepas kita menang.
“Dalam pemerintahan PR dan PH memang tradisi itu tak ada tetapi tak salah untuk kita buat sebab ia dibenarkan dalam perlembagaan dan itu cadangan yang praktis mungkin menyelesaikan banyak perkara juga memberikan kekuatan kita dari segi dalam kalangan ahli-ahli wakil rakyat untuk berbahas,” ujarnya. – UTUSAN










