PETALING JAYA: Kelengkapan teknologi dan logistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu ditambah baik seiring dengan cabaran dihadapi warga polis ketika ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Bekas Pesara Polis Malaysia, Mokhtar Omar berkata, tugas polis dalam operasi dan penyiasatan kini semakin mencabar dengan pelbagai kewujudan jenayah baharu yang kompleks.
Justeru, katanya, anggota dan pegawai sepatutnya dilengkapi teknologi terbaharu antaranya kamera badan, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan dron.
“Teknologi ini sangat penting dan diperlukan seiring dengan cabaran dihadapi pihak polis selain bergantung pada situasi semasa.
“Hal ini memerlukan peruntukan yang tinggi, jadi, peruntukan disediakan kerajaan juga perlu berubah,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Dalam pada itu, Mokhtar berkata, kebajikan bekas pesara polis juga perlu diambil perhatian terutamanya mereka yang tidak mempunyai pencen tetap.
Jelasnya, terdapat bekas polis yang menamatkan perkhidmatan awal atas sebab kesihatan dan lain-lain.
“Ada juga yang tidak mempunyai rumah dan hidup susah selain memerlukan wang saraan bulanan.
“Bagaimanapun, ada antara mereka tidak tampil menyatakan kesusahan dihadapi. Jadi, kita harap kerajaan dapat beri perhatian kepada kebajikan bekas pesara polis ini,” ujarnya.
Semalam, akhbar ini melaporkan sebanyak 615 kuarters, balai dan pos Pasukan Gerakan Am akan dinaik taraf dengan peruntukan dianggarkan berjumlah RM95 juta bagi menangani isu aset Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang usang serta daif.
Antara masalah yang membelenggu anggota dan pegawai ialah tandas tersumbat, siling bocor, pintu rosak, bahan binaan rosak sehingga ada kayu reput, malah, terdapat penghuni lebih rela menanggung kos penyelenggaraan dan pembaikan sendiri jika tidak mahu kerosakan berlarutan untuk tempoh lama.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussain dilaporkan berkata, penambahan peruntukan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin dilihat wajar dalam usaha meningkatkan keselesaan anggota dan pegawai polis.
Malah, katanya, sebanyak 464 balai, kuarters, berek serta lain-lain aset di seluruh negara yang diberi tumpuan untuk diselenggara serta dinaik taraf.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 231 unit aset berada dalam tahap serius keadaan usangnya. Peruntukan itu juga akan digunakan bagi menaik taraf sebanyak 151 pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) terutamanya di Sabah, Sarawak, Kelantan dan Selangor,” katanya. – UTUSAN











