KLUANG: Majlis Perbandaran Kluang (MPK) akan menawarkan gerai kepada peniaga yang berminat sekiranya peniaga sedia ada tidak lagi mahu membuka perniagaan di Laman Niaga Pandu Lalu di Jalan Bakawali berhampiran Hentian Bas dekat sini.
Ketua Whip MPK, Md. Norhalim Md. Amin berkata, sebelum tindakan menarik semula lesen perniagaan di Laman Niaga Pandu Lalu dilakukan, pihaknya sudah mengeluarkan surat amaran kepada perniagaan yang enggan membuka perniagaan.
Katanya, tindakan amaran itu selaras dengan perjanjian ketika peniaga mendapatkan lesen gerai berkenaan dan secara tidak langsung membuka peluang kepada mereka yang benar-benar berminat untuk menjalankan perniagaan.
“Pihak pengurusan lesen gerai akan turun padang dalam masa terdekat dan tindakan susulan diambil selaras dengan syarat-syarat ditetapkan ketika tawaran gerai dibuka.
“Bagaimanapun, kami memahami sebahagian peniaga mungkin berhadapan kekangan kewangan untuk berniaga berikutan kos harga barang yang semakin meningkat pada masa ini,” katanya.
Md. Norhalim yang juga Pengerusi Kelab D’Kluang berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Kosmo! pada 24 Julai baru-baru ini berkaitan Gerai Pandu Lalu kurang mendapat sambutan berikutan hanya enam daripada 18 gerai yang dibuka setiap hari.
Sebelum itu, Kelab D’Kluang bersama 15 badan bukan kerajaan (NGO) serta pengurusan Masjid Jamek Kampung Melayu mengedarkan kira-kira 1,200 bungkus Bubur Asyura kepada jemaah yang hadir untuk solat jumaat di masjid berkenaan hari ini.
Ujarnya, masalah pemasaran mungkin disebabkan kurangnya gerai dibuka setiap hari dan yakin sekiranya semua gerai beroperasi membolehkan orang ramai datang kerana banyak pilihan menu jualan dapat dibeli oleh pelanggan.
“Oleh yang demikian, saya menyeru kepada mereka mempunyai lesen jualan di gerai berkenaan agar membuka jualan mereka bagi membolehkan operasi di Laman Niaga ini menjadi salah satu pilihan orang ramai untuk membeli makanan,” katanya. – UTUSAN