Tangani segera pencemaran di Pulau Jerejak

Tangani segera pencemaran di Pulau Jerejak

LONGGOKAN sampah yang dikesan dibuang pihak tidak bertanggungjawab di Pulau Jerejak, Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Perikanan menyiasat serta mengambil tindakan tegas ke atas pengusaha ternakan ikan dalam sangkar yang disyaki membuang sampah di Pulau Jerejak di sini.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, pihaknya kesal kerana meskipun kejadian itu pernah dikesan berlaku pada 2021, namun masalah tersebut berulang lagi.

Jelas beliau, sampah dan sisa plastik bukan sahaja dilonggokkan di kawasan pantai dan pulau berkenaan tetapi juga dibakar secara terbuka.

“CAP bimbang dengan masalah ini dan jika berterusan boleh merebak dan mencemarkan perairan serta dasar laut sekali gus mengancam sumber perikanan dan kehidupan nelayan pantai yang mencari rezeki di kawasan itu,” katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Sehubungan itu, tambah Mohideen, CAP menggesa supaya Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 perlu dikuatkuasakan dengan tegas oleh MBPP dan JAS.

Selain itu, katanya, Jabatan Perikanan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) pula perlu mengenakan syarat dan peraturan yang ketat ke atas pengusaha ternakan ikan dalam sangkar berhampiran pulau tersebut.

Dalam masa sama, ujar beliau, CAP juga menggesa supaya siasatan dan kajian secara menyeluruh dilakukan oleh pihak berkenaan mengenai tahap dan kesan bahan buangan seperti plastik dan sisa makanan ikan ternakan di dasar laut berhampiran Pulau Jerejak dan kawasan- kawasan berdekatan.

“CAP percaya jika masalah ini tidak ditangani segera, ia bukan saja boleh mengancam alam sekitar dengan lebih serius lagi pada masa akan datang.

“Malah, ia juga boleh menjejaskan hutan semula jadi, pembiakan hidupan laut, aktiviti dan sumber pendapatan nelayan pantai serta bekalan makanan untuk pengguna,” katanya.

Sehubungan itu, tambah beliau, CAP berharap Kerajaan Negeri Pulau Pinang, jabatan dan agensi yang terlibat mendedahkan hasil siasatan dan tindakan yang diambil mengenai masalah ini kepada orang ramai dengan segera. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN