Tanding DUN Bayan Lepas, Dominic seperti `tikam' kawan sendiri'

Tanding DUN Bayan Lepas, Dominic seperti `tikam’ kawan sendiri – Sumber Pas

DOMINIC LAU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Pencalonan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mewakili Perikatan Nasional (PN) disifatkan menikam rakan dalam sekutu sendiri.

Ini kerana sumber dalaman Pas mendakwa, Setiausaha Pas Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim telah dinamakan serta diluluskan sebagai calon DUN Bayan Lepas oleh pimpinan Pas Pusat.

Malah, sumber itu memberitahu, Iszuree sendiri telah mengambil senarai nama calon-calon DUN Pas Pulau Pinang termasuk beliau sendiri yang dimuktamadkan oleh pimpinan Pas Pusat sebagai calon DUN Bayan Lepas.

”Bagaimanapun, Dominic berhajat bertanding di kerusi-kerusi DUN yang majoritinya Melayu, pada mulanya dia mahu bertanding di Permatang Berangan, namun mendapat tentangan hebat daripada Pemuda Pas dan pimpinan Pas di Parlimen Tasek Gelugor.

”Bila mendapat tentangan hebat di sana, dia beralih ke kerusi DUN Bayan Lepas.

”Kami sendiri di Bayan Lepas beritahu Dominic dia telah ‘menikam’ kami di Bayan Lepas, memang tindakan Dominic mengecewakan pimpinan dan ahli akar umbi Pas,” dakwa sumber itu kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kontroversi mengenai siapa calon PN bagi kerusi DUN Bayan Lepas akhirnya terjawab hari ini selepas Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengesahkan Dominic akan bertanding di kerusi berkenaan.

Kerusi DUN Bayan Lepas merupakan kerusi tradisi Pas sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) dan kerusi berkenaan mempunyai 65 peratus pengundi Melayu.

Sumber berkenaan berkata, Iszuree telah mengerakkan kerja-kerja di peringkat akar umbi sejak 2010 dan pemimpin berkenaan memang dikenali ramai.

”Mood pengundi sebelum ini kita dapati semuanya mahu beralih kepada PN di bawah pimpinan Iszuree, namun dengan senario terbaharu ini ahli akar umbi Pas memang kecewa.

“Dominic masuk ke Bayan Lepas tanpa kesepakatan, masuk cara macam itu memang orang akan marah dan tidak mustahil dia akan diboikot,” katanya.

Dalam pada itu, Iszuree ketika dihubungi berkata, dia tidak menafikan kecewa dengan keputusan pimpinan PN itu, namun menerima keputusan berkenaan dan tidak akan sesekali mengkhianati parti Pas.

”Walau kecewa saya tidak akan bertanding sebagai calon Bebas, saya setia dengan Pas.

“Saya tidak boleh kata apa-apa, pintu saya telah ditutup, saya juga tidak mahu pengaruhi ahli Pas dengan apa-apa komen, biarlah mereka buat keputusan sendiri dalam PRN nanti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN