PETALING JAYA: Penyanyi bersuara emas, Ernie Zakri tidak meletakkan sebarang had untuk berfesyen selagi suaminya memberi keizinan dan terlihat cantik apabila disarung.
Jelas penyanyi Sirna itu, seiring pengalamannya dalam industri muzik dan status sebagai isteri serta ibu, dia tahu syarat serta batas dalam berfesyen terutama selepas dia berhijab.
“Dulu sebelum berhijab dan berkahwin, saya suka mencuba fesyen di luar kotak. Kalau orang suruh pakai baju ala pasu pun, saya akan pakai. Asalkan nampak cantik dan tidak berlebihan.
“Seiring usia, saya semakin matang dalam memilih fesyen dan konsep yang sesuai dengan status sebagai isteri dan ibu. Malah, konsep album, lagu juga turut diambil kira.
“Sekaranf kalau suami saya cakap boleh pakai pasu, saya akan pakai. Tetapi macam saya cakap, ada perbatasannya. Boleh berfesyen, tetapi ada batas-batas saya perlu tahu,” katanya.
Tambah isteri penyanyi, Syamel itu lagi, dia juga tidak mahu terlalu mengambil peduli soal kecaman dan kritikan negatif segelintir warganet yang mungkin tidak selari dengan pemilihan busananya.
Mengakui dirinya tidak terlalu cerewet, jelas Ernie, dia hanya mahu busana tersebut menyerlahkan kecantikannya namun dalam pada masa sama, menutup kekurangan yang ada.
“Kita pakai macam mana pun orang tetap akan kecam. Pakai berlitup sampai atas kepala pun, tetap ada yang tidak suka. Saya tahu batas yang perlu dijaga. Jika tidak sesuai, saya tidak pakai.
“Saya ini bukanlah seorang yang cerewet. Lumrah jika saya mahu kelihatan cantik. Saya suka sesuatu nampak lawa.
“Cuma bila jadi mak-mak ini, bahagian perut kena tutup. Itu sahaja, yang lain okay,” selorohnya!