PETALING JAYA: “Otak paksa saya fikir benda-benda kritikal. Buat saya fikir macam mana nak bunuh orang, sorok mayat, lari daripada polis. Saya penat dan tak suka.”
Itu luahan pelakon dan pengacara, Janna Nick yang mendedahkan tidak tahan mendengar suara-suara di fikiran yang kerap menyuruhnya melakukan pelbagai perkara termasuk membunuh.
Janna mendedahkan, serangan mental yang dihadapi baru-baru ini merupakan yang paling parah dan ‘menakutkan’ sejak dia menjalani rawatan gangguan bipolar dua tahun lalu.
“Saya bahagia, tiada masalah. Cuma, ada masalah dengan diri sendiri. Otak saya bising sangat hari ini. Ini yang paling teruk pernah saya hadapi. Kerja biasa tetapi balik lewat setiap hari.
“Pukul 7 atau 8 pagi saya balik, ada hari pukul 2 petang baru tidur. Pola tidur bercelaru. Mungkin otak saya tak boleh terima. Nak tidur enam jam tetapi otak saya berperang.
“Apabila bangun, saya mula fikir macam mana solar sistem berfungsi, macam mana elektrik berfungsi. Suara-suara itu sangat bising, cakap macam-macam sampai saya rasa benci dengan otak saya,” kongsinya.
Penyanyi Gatal itu meluahkan penderitaannya secara langsung di aplikasi Tiktok dan mengundang kerisauan daripada kalangan peminat yang bimbang keadaan kesihatan mentalnya yang semakin parah.
Luah Janna lagu, dia mengakui terlalu penat untuk ‘berperang’ dengan mentalnya sendiri dan kerap berzikir namun suara-suara itu tetap bermain di mindanya.
“Bukan hari-hari saya begini tapi bila datang hari yang teruk, istighfar dan zikir tak dapat melawan suara-suara yang tengah bercakap dalam otak. Bayangkan nak berzikir, ada10 suara dalam kepala pun nak bercakap juga.
“Kadang-kadang sampai nak hentak kepala sendiri di dinding. Penyakit bipolar yang saya alami ini sangat teruk. Ubat yang saya kena makan tiada kesan dan tak sesuai dengan kerja saya,” luahnya.
Dalam pada masa yang sama, isteri pelakon, Dini Schatzmann itu menitipkan pesanan supaya warganet tidak mengambil ringan isu kesihatan mental yang mungkin berlaku di sekitar.
Sebelum ini, Janna mendedahkan mengalami masalah gangguan bipolar (bipolar disorder), selain mengaku pernah cuba membunuh diri ketika berusia 14 dan 15 tahun.