PETALING JAYA: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahu dasar serta strategi perundangan yang sedang dirangka kerajaan untuk membanteras aktiviti Ali Baba (rent-seeking) bersifat punitif dan mencegah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, undang-undang punitif dan tiada kompromi adalah lebih utama kerana ikrar dan unit integriti yang ditubuh di agensi kerajaan termasuk syarikat-syarikat korporat hanya setakat lafaz di bibir.
Bagaimanapun ikrar tersebut tidak ditonjolkan melalui tindakan sehingga mendorong kepada kegiatan seperti Ali Baba yang semakin berleluasa.
“Apabila ruang lingkup kehidupan tidak berintegriti, maka, perbuatan seperti Ali Baba inilah yang semakin bermaharajalela. Ini bukan sahaja beri kesan buruk, tetapi masyarakat yang akan merasai bahananya atas tindakan segelintir individu yang cuba mencari jalan singkat untuk kaya.
“Mereka sanggup menggadai maruah, diri dan hak keistimewaan sebagai Melayu semata-mata hidup di luar batasan kemewahan. Ini amat mendukacitakan dan semua pihak mesti menyatakan rasa tidak puas hati terhadap mereka yang suka mengguna jalan singkat seperti ini,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sementara itu, peguam Mior Nor Haidir Suhaimi berkata, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 perlu dilaksana dengan lebih ketat dan menyeluruh.
Katanya, ia disebabkan aktiviti Ali Baba dalam sektor ekonomi berpunca daripada kelonggaran dari aspek penguatkuasaan dan kawal selia dalam pelaksanaan terma kontrak.
“Contohnya, apabila ada terma yang melarang sebarang pemindahan kerja atau tanggungjawab kepada pihak yang tidak dinamakan dalam kontrak, ia dibiarkan tutup sebelah mata sahaja dan lazim berlaku.
“Maka pihak yang memperoleh kontrak atau ‘job’ daripada kerajaan kebarangkalian tidak layak (unqualified) pada asalnya. Sebab itu, undang-undang yang sedia ada termasuk Akta SPRM perlu dilaksana dengan lebih ketat dan menyeluruh,” katanya.
Baru-baru ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan merangka dasar serta strategi perundangan bersesuaian untuk membanteras kegiatan Ali Baba yang meninggalkan kesan negatif kepada ekonomi negara.
Katanya, anggaran kerugian mencecah sekitar satu peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan melibatkan aspek perolehan, pelesenan, pemberian permit dan kuota serta pemberian subsidi dan geran. – UTUSAN