STPM 2022: Prestasi keputusan pelajar Orang Asli membanggakan

STPM 2022: Prestasi keputusan pelajar Orang Asli membanggakan

PELAJAR Orang Asli yang mencatatkan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) yang membanggakan apabila keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 diumumkan di SMK Toh Muda Abdul Aziz, Sungai Siput, kelmarin. – UTUSAN/FADZIL ZAINOL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT: Elak berasa tertekan antara rahsia seorang anak Orang Asli muncul antara pelajar yang mencatat keputusan membanggakan dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 yang diumumkan kelmarin.

Norhaspadalila Bah Dindoi yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Toh Muda Abdul Aziz di sini memperoleh dua A, masing-masing satu A- dan B dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.67.

Dia yang tinggal bersama seorang ibu tunggal sejak 2014 berkata, cabaran hidup menjadi pencetus semangat kepada diri untuk melakukan yang terbaik di dalam STPM.

“Peluang tinggal di asrama sekolah juga memudahkan saya melakukan ulangkaji pelajaran bersama pelajar yang lain,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Dia merupakan antara lapan anak Orang Asli yang mengambil STPM dan lulus peperiksaan tersebut di sekolah berkenaan.

Norhaspadalila berhasrat melanjutkan pelajaran dalam bidang pendidikan dan mahu menjadi seorang guru kerana suka melakukan pembentangan di hadapan kelas.

Seorang lagi pelajar Orang Asli, Armin Alang gembira dengan keputusan PNGK 3.25 yang dicatatkan beliau dan berharap dapat membantunya melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi.

“Sepanjang pembelajaran, kadangkala ada juga rasa penat dan tertekan. Saya mempunyai minat terhadap Sains Haiwan, diharapkan keputusan ini dapat membantu saya terlibat dalam bidang ini,” katanya.

Sementara itu pelajar lain, Emisyahril Edwan Mohd Sukiri yang merekodkan PNGK 3.92 berharap keputusan STPM membantu dirinya untuk menceburi bidang bahasa. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN