PETALING JAYA: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) akan mengambil tindakan ke atas individu berstatus bankrap yang memegang jawatan sebagai pengarah sekiranya didapati bersalah di mahkamah.
Suruhanjaya itu dalam satu kenyataan memaklumkan, dua pengarah syarikat telah dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah pada bulan lalu atas dua pertuduhan.
“SSM ingin memberi peringatan kepada orang awam bahawa tindakan pendakwaan akan diambil ke atas pengarah yang berstatus bankrap sekiranya didapati terlibat di dalam pengurusan syarikat. Tindakan perundangan akan diambil sekiranya berlaku pelanggaran peruntukan undang-undang di bawah Akta yang dikawal selia oleh SSM.
“Dua pengarah syarikat telah dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur pada 22 Jun 2023 dengan pertuduhan berasingan di bawah seksyen 198(1) Akta Syarikat 2016 bagi kesalahan memegang jawatan sebagai pengarah syarikat walaupun berstatus bankrap,” katanya.
Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan terhadap mereka.
Seksyen 198(1) Akta Syarikat 2016 memperuntukkan bahawa adalah menjadi kesalahan apabila seorang bankrap memegang jawatan sebagai pengarah syarikat secara langsung atau tidak langsung terlibat atau mengambil bahagian dalam pengurusan syarikat tanpa kebenaran Mahkamah.
Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda tidak melebihi RM1 juta atau kedua-duanya sekali. – UTUSAN