Srikandi Bersatu mahu 10 calon wanita dalam PRN

Srikandi Bersatu mahu 10 calon wanita dalam PRN

MAS ERMIEYATI SAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sayap wanita Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) iaitu Srikandi Bersatu mahu sekurang-kurangnya 10 calon daripada golongan itu diketengahkan bertanding dalam pilihan raya di enam negeri, bulan depan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, jumlah itu dianggap ideal bagi memperkasa dan mengangkat lebih ramai golongan wanita sebagai pemimpin.

Tidak meletakkan sasaran atau kuota tetap mewakili golongan wanita, Ahli Parlimen Masjid Tanah itu bagaimanapun menghargai jika pimpinan tertinggi parti memberi peluang supaya lebih ramai bakal calon wanita bertanding dalam pilihan raya.

Katanya, unjuran itu dibuat berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 yang mana hanya seorang calon wanita Bersatu diketengahkan bertanding di Kedah.

“Semasa saya mempengerusikan mesyuarat minggu lalu mengenai pilihan raya negeri, saya menyatakan yang pilihan raya 2018, Bersatu hanya meletakkan seorang calon wanita dari enam negeri yang terlibat pilihan raya kali ini iaitu di Kedah.

“Jadi, kali ini, sudah tentu kami letak harapan tinggi supaya pucuk pimpinan wanita yang lebih ramai yang mana ia merangkumi sayap Srikandi Muda dan bersekutu.

“Kami cuba untuk realistik dan kalau dapat 10 calon daripada wanita sudah memadai, sekurang-kurangnya ada kerusi untuk wanita. Senarai calon wanita sudah dihantar ke pucuk pimpinan tertinggi melalui Ketua Srikandi, Datuk Seri Rina Mohd. Harun untuk pertimbangan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Semakan Utusan Malaysia melalui Semakan Daftar Pemilih, Calon dan Keputusan Pilihan Raya (MySPR Semak) mendapati, satu-satunya wanita dari Bersatu menang bertanding pada PRU14 dalam kalangan enam negeri terlibat PRN iaitu Datuk Halimaton Shaadiah Saad di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Beliau merupakan Exco Kerajaan Negeri Kedah bagi portfolio Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pembasmian Kemiskinan dan Kebajikan Negeri Kedah yang dilantik pada 2018.

Hari pengundian bagi pilihan raya di enam buah negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu ditetapkan pada 12 Ogos depan, manakala hari penamaan calon pula ditetapkan pada 29 Julai ini.

Dalam perkembangan lain, Mas Ermieyati yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) memberitahu, pihaknya dalam proses menyiapkan laporan prosiding berhubung perkembangan kemajuan pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS) untuk dibentang di Parlimen, Oktober ini.

“Seperti yang sedia maklum, laporan prosiding akan dibentang setiap tiga bulan di Parlimen. Jadi, kami akan bentangkannya pada sidang Parlimen akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×