SPRM tingkat keupayaan, ganti peralatan teknikal - Utusan Malaysia

SPRM tingkat keupayaan, ganti peralatan teknikal

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dana RM100 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk diagihkan kepada enam agensi penguat kuasa akan digunakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebaik mungkin.

Ini bagi memperbaiki atau mengganti peralatan teknikal dalam meningkatkan keupayaan SPRM dalam usaha membanteras rasuah secara efektif.

Menegaskan kepada Utusan Malaysia, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, keputusan yang diumumkan Perdana Menteri itu adalah iltizam yang tinggi dalam me­ningkatkan keupayaan pasukan penguat kuasa supaya dapat memberi khidmat yang baik, pantas dan cekap kepada rakyat.

Kata beliau, SPRM akan memberi fokus untuk melihat kepada peralatan-peralatan teknikal yang sudah lama di agensi itu untuk diperbaharui.

“Pembaharuan peralatan-peralatan teknikal ini amat diperlukan supaya keupayaan dalam menjejak penjenayah rasuah dapat dilakukan untuk dibawa ke muka pengadilan.

“Bukan itu sahaja, dengan pembaharuan ini juga diharap dapat memudahkan agensi ini dalam melakukan rampasan harta-harta penjenayah,” kata­nya di sini semalam.

Dalam pada itu, Azam menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan yang memberikan peruntukan tersebut bagi memperkasa penguat kuasa di negara ini.

Kelmarin Perdana Menteri mengumumkan peruntukan RM100 juta bagi memperkukuh kelengkapan enam agensi pe­nguatkuasaan selain penambahbaikan Elaun Pakaian Sera­gam bagi Kumpulan Pengurusan dan Profesional (P&P) serta kajian bagi memperkasa organisasi dan menambah baik laluan kerjaya kepada Pegawai dan Anggota Skim Penguat Kuasa.

Anwar berkata, Elaun Pa­kaian Seragam bagi Kumpulan Pengurusan dan Profesional (P&P) ditambah baik kepada kaedah bekalan Kemudahan Pakaian Seragam di enam agensi dengan melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM5,502,780 setahun.

Beliau yang juga Menteri Kewangan meminta Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican menyegerakan penyaluran peruntukan RM100 juta kepada agensi penguatkuasaan selewat-lewatnya akhir minggu depan.

Enam agensi terlibat adalah Angkatan Tentera Malaysia (ATM); Polis Diraja Malaysia (PDRM); SPRM; Jabatan Penjara Malaysia; Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) serta Kementerian Perdagangan Dalam Ne­geri dan Kos Sara Hidup (KPDN). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya