Sesi libat urus tentu keperluan UPSR, PT3 - Utusan Malaysia

Sesi libat urus tentu keperluan UPSR, PT3

UPSR PT3
FADHLINA Sidek meletakkan cap jari pada skrin sebagai simbolik perasmian Perpustakaan Peringatan Siddiq Fadzil Universiti Selangor (Unisel) di Bestari Jaya, Kuala Selangor, Selangor, hari ini. - UTUSAN /  M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Kementerian Pendidikan (KPM) mengadakan sesi libat urus berterusan bagi membuat keputusan konklusif sama ada mengembalikan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) atau sebaliknya.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, sesi pertemuan dan perbincangan dengan semua pihak itu penting bagi menilai keputusan terbaik dalam menentukan hala tuju pendidikan negara.

“Perkara berkaitan dua peperiksaan itu sentiasa ditimbulkan dalam perbincangan menerusi sesi libat urus berkenaan. Sebagai contoh, kita sudah selesai konvensyen pentaksiran dan sesi libat urus untuk hala tuju berkaitan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Selain itu, kita baru selesai Konvensyen Pendidikan Islam dan beberapa lagi inisiatif yang akan disegerakan dari segi jawatankuasa kritikal khusus bagi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Perpustakaan Peringatan Siddiq Fadzil Universiti Selangor (Unisel), hari ini.

Pada 9 Ogos tahun lalu, Kementerian Pendidikan (KPM) kekal dengan keputusan untuk tidak mengembalikan UPSR dan PT3 walaupun terdapat permintaan daripada ibu bapa yang mahu ia dilaksanakan semula.

Dua peperiksaan awam itu dimansuhkan kerana KPM mahu melahirkan modal insan yang mempunyai kemahiran dalam pelbagai bidang dan tidak terhad dalam bidang akademik sahaja.

Bagaimanapun, ramai ibu bapa kemudian menuntut agar UPSR dikembalikan kerana mendakwa KPM belum bersedia sepenuhnya melaksanakan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) sebagai pendekatan tunggal kepada sistem penilaian di sekolah.

Dalam pada itu, Fadhlina menjelaskan, perbincangan mengenai perkara itu sentiasa menjadi keutamaan dari semasa ke semasa.

“Justeru, sesi libat urus penting berdasarkan kepada perkembangan pendidikan. Namun, kementerian belum membuat sebarang keputusan konklusif mengembalikan dua peperiksaan berkenaan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya