IPOH: Pembinaan Seksyen 11 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dari Beruas ke Taiping Selatan sepanjang 35.5 kilometer dijangka siap hujung tahun ini.
Ketua Operasi Lebuh Raya WCE, Syed Muhd Naguib Syed Mohd berkata, kerja-kerja pembinaan di seksyen itu kini siap sekitar 88 peratus.
“Kerja-kerja pembinaan di Seksyen 11 ketika ini melibatkan elemen-elemen kejuruteraan seperti penurapan, kerja-kerja cerun, elemen-elemen tol dan mekanikal.
“Seksyen ini berakhir di Taiping Selatan yang akan bertemu persimpangan Changkat Jering di Lebuh Raya PLUS.
“Sebagai langkah pemuliharaan alam sekitar dan ekosistem, dua kotak pembentung haiwan dibina bagi membolehkan haiwan liar melaluinya kerana seksyen itu melalui kawasan hutan simpan Gunung Bubu dan ia merupakan terowong khas pertama yang dibina di lebuh raya bagi tujuan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi ramah mesra bersama pengamal media Perak di sini hari ini.
Menurutnya, untuk negeri Perak, WCE adalah sepanjang 130 kilometer, iaitu termasuk jajaran dikenali ‘seksyen tanpa tol’ yang telah dinaik taraf Jabatan Kerja Raya sepanjang 30 kilometer dari Teluk Intan ke Lekir dan geometri jalannya sama dengan lebuh raya.
“Seksyen 1, 2, dan 6 jajaran WCE yang melibatkan SKVE, Banting dan Assam Jawa di Selangor juga dijangka siap tahun ini,” katanya.
Sementara itu, Syed Muhd Naguib berkata, jumlah kenderaan melalui lebuh raya itu yang dibuka sejak tahun 2019 mencatat peningkatan 30 peratus iaitu daripada 35,000 kepada 60,000 kenderaan sehari.
“Ketika Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini, jumlah tersebut mencecah sehingga 100,000 kenderaan sehari.
“Dijangkakan apabila siap sepenuhnya nanti, kira-kira 300,000 kenderaan sehari akan menggunakan lebuh raya sepanjang 320 kilometer ini,” katanya. – UTUSAN