‘Sasar 3.00, tak sangka dapat PNGK 4.00’ - Utusan Malaysia

‘Sasar 3.00, tak sangka dapat PNGK 4.00’

ERIN Ezayu Emylia Abdul Mutalib menunjukkan sijil cemerlang yang diterimanya dari Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan selepas memperoleh PNGK 4.00 dalam keputusan STPM Tahun 2022. – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang anak kepada pasangan tukang jahit dan pemandu teksi antara yang berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 dalam keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022.

Erin Ezayu Emylia Abdul Mutalib, 20, pelajar jurusan Sains Sosial dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Besar Tampin itu memaklumkan tidak menyangka memperoleh keputusan cemerlang tersebut.

“Saya hanya sasar keputusan 3.00 lebih. Saya bersyukur, ini hasil usaha gigih kerana saya tahu bukan berasal daripada keluarga yang senang.

“Alhamdulillah, ibu dan ayah gembira dengan keputusan ini dan mereka menangis ketika saya menghubungi mereka memaklumkan keputusan cemerlang dalam STPM,” katanya.

Dia ditemui selepas majlis pengumuman keputusan STPM Tahun 2022 Peringkat Negeri Sembilan di Kolej Tingkatan Enam, Forest Heights di sini.

Pengumuman dibuat Pe­ngarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Dr. Roslan Hussin dan turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Erin Ezayu Emylia dalam pada itu memberitahu, dia kini telah menghadiri temuduga bagi melanjutkan pelajaran dalam bidang komunikasi massa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) selain sedang menunggu keputusan bagi memasuki kursus Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL).

Sementara itu, anak kepada seorang tukang rumah, Amira Syafiqah Sorhaimi, 20, juga memperoleh keputusan cemerlang PNGK 4.00.

Dia yang berasal dari Kampung Batu, Rembau dan merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Haji Mohd. Said berkata, dia sering mengingati pesan ibunya yang mahukannya belajar bersungguh-sungguh demi mengubah nasib keluarga.

“Sejujurnya saya tidak sangka mendapat keputusan ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN