KUCHING: Kerajaan Negeri Sarawak mengalu-alukan cadangan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mendapatkan tapak tanah bagi membina Pangkalan Udara di negeri ini.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan negeri sedia berbincang untuk memberi tapak tanah berkenaan sekiranya JBPM tampil mengemukan permohonan tersebut.
Bagaimanapun, katanya, sehingga kini belum lagi ada permohonan yang diterima daripada pihak JBPM.
“Belum lagi, itu cadangan dari mereka, begitu juga dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), mereka ada juga hendak menempatkan pangkalan udara mereka.
“Apabila ada permohonan, kita bincang, kita akan memberikan kepada mereka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Ma’al Hijrah Peringkat Sarawak di Dewan Kompleks Islam Kuching, hari ini.
Jelas Abang Johari, permohonan yang sama juga telah dikemukakan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terdiri daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
“Itu Rejimen dan Briged di Bintulu, mereka juga berhendakkan tanah untuk TLDM, selain TUDM. Tetapi bagi TLDM berkemungkinan ia masih lagi bincang sama ada Sibu atau Bintulu,” kata Abang Johari
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, pihaknya giat berbincang bersama kerajaan negeri di seluruh negara dalam usaha perancangan pembinaan Pangkalan Udara bagi Zon Selatan dan Timur Semenanjung Malaysia serta di Sabah dan Sarawak.
Bagaimanapun Abdul Wahab mendedahkan, bagi Sarawak pihaknya berdepan beberapa faktor menyebabkan kelewatan pembinaan Pangkalan Udara, antaranya isu berhubung pemberian tanah bagi pembinaan tersebut.
Justeru itu, katanya, jika diberikan tapak tanah yang berdekatan dengan lapangan terbang dalam tempoh yang terdekat, JBPM tidak menolak untuk memberikan keutamaan kepada Sarawak untuk pembinaan pangkalan udara secepat yang mungkin. – UTUSAN

								
											








