Sanusi tak layak jadi Menteri Besar

Sanusi tak layak jadi Menteri Besar

MUHAMMAD Faiz Fadzil (tengah) bersama nelayan pada Program Ramah Mesra Madani, Libat Urus Pengerusi LKIM di Jeti Pendaratan Ikan Seberang Kota di Kuala Kedah, Alor Setar. -UTUSAN/MOHD RAFIE AZIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor tidak layak untuk terus menjadi Menteri Besar berikutan tindakannya yang didakwa memperlekeh Sultan Selangor dalam ceramah baru-baru ini.

Ahli Majlis Pimpinan Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Faiz Fadzil berkata, titah Sultan Sharafuddin Idris Shah bahawa perkara itu belum selesai jelas menunjukkan betapa seriusnya perbuatan Muhammad Sanusi dalam isu berkenaan.

Tegasnya, Muhammad Sanusi gagal menunjukkan kepimpinan melalui tauladan supaya rakyat terus menjunjung dan menghormati institusi diraja yang menjadi tonggak kepada negara ini.

“Saya fikir ucapan sedemikian amat serius kesannya dan perlu ada siasatan menyeluruh dijalankan bagi membawa beliau ke muka pengadilan. Di mahkamah nanti, beliau ada hak untuk pertahankan dirinya tetapi jika siasatan menunjukkan terdapat prima facie, perlu ada pendakwaan dijalankan sebagai satu pengajaran terhadap beliau.

“Pohon maaf bukan satu penyelesaian dan tindakan sedemikian tidak akan mendidik rakyat untuk mematuhi undang-undang. Bagi saya Muhammad Sanusi tidak layak jadi Menteri Besar atau pemimpin politik dan eloklah beliau bersara kerana sebagai pemimpin, seharusnya seseorang individu itu perlu sentiasa seiring dengan Sultan mana-mana negeri sekali pun,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) ditemui pemberita ketika hadir dalam Program Ramah Mesra Madani, Libat Urus Pengerusi LKIM Bersama Nelayan di Jeti Pendaratan Ikan Seberang Kota di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Muhammad Faiz berkata, Muhammad Sanusi juga pernah mengeluarkan kenyataan seakan menghina Yang di-Pertuan Agong apabila mempertikai penubuhan Kerajaan Perpaduan yang kononnya tidak dititahkan Seri Paduka Baginda.

“Itu pun satu penghinaan kepada Agong kerana kita semua tahu bahawa Seri Paduka Baginda sendiri titahkan agar diwujudkan Kerajaan Persekutuan. Malah Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri mengakui Tuanku pernah titah agar gabungan tersebut bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk Kerajaan Perpaduan.  

“Tetapi mereka akhirnya menolak untuk berbuat demikian. Jadi apabila Muhammad Sanusi dakwa tak ada bukti Agong bertitah demikian, beliau sebenarnya sekali lagi telah menghina institusi diraja,” katanya.

Muhammad Faiz menambah, Muhammad Sanusi tidak sepatutnya menyalahkan pihak lain kerana kononnya mempolitikkan hal tersebut sedangkan beliau sendiri yang berucap sedemikian.

“Walhal beliau sendiri yang sering ‘spin’ fakta terutamanya berkaitan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan. Sekarang bukan rakyat yang ‘spin’ kerana istana yang keluarkan kenyataan bahawa perkara ini belum selesai.

“Maka permohonan maaf bukanlah penyelesaian terhadap isu ini. Ini perlu jadi amaran tegas kepada rakyat Malaysia agar tidak memperlekeh mahu pun mempermainkan institusi diraja,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN