PETALING JAYA: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dijangka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang esok.
Perkara itu berdasarkan maklumat laman sesawang mahkamah yang memaparkan nama Muhammad Sanusi beserta prosiding pendakwaan akan dilakukan di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin pada pukul 9 pagi.
Bagaimanapun sehingga kini belum pasti sama ada pendakwaan itu dikaitkan dengan kenyataan Muhammad Sanusi yang didakwa memperlekeh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung pelantikan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor.
Difahamkan Muhammad Sanusi kini berada di Lembah Klang.
Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, isu Menteri Besar Kedah itu yang didakwa menghina baginda belum selesai.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Selangor Royal Office selepas Sultan Sharafuddin Idris berkenan menerima menghadap Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi dan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, hari ini.
Pada Minggu lalu, Ahli Dewan Diraja Selangor menuntut Muhammad Sanusi agar segera membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung isu mengeluarkan kenyataan yang didakwa memperlekeh Sultan Selangor berhubung pelantikan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor.
Gesaan itu dibuat lima ahlinya iaitu Tan Sri Ambrin Buang; Tan Sri Mohd Zawawi Salleh; Datuk Mohammed Khusrin Munawi; Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa dan Datuk Emran Kadir yang hadir membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 6 di sini, hari ini.
Mereka menyifatkan kenyataan Muhammad Sanusi disifatkan satu penghinaan kepada Institusi Diraja Selangor kerana membabitkan pelantikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang seolah-olah tidak wajar atau tepat.
Media sebelum ini melaporkan, Muhammad Sanusi dalam satu siri ceramah anjuran Perikatan Nasional (PN) didakwa mengeluarkan kenyataan yang dikatakan menghina Sultan Selangor.
Menerusi video tular tersebut, Muhammad Sanusi turut didakwa meremehkan pelantikan Menteri Besar, Datuk Amirudin Shari.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, polis menerima 31 laporan di seluruh negara membabitkan kenyataan Muhammad Sanusi yang didakwa mempertikai kewibawaan Institusi Kesultanan Selangor. –UTUSAN