Sanusi dakwa Malaysia mahu bergerak seperti Korea Utara

Sanusi dakwa Malaysia mahu bergerak seperti Korea Utara

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa Malaysia mahu bergerak menjadi seperti negara Korea Utara di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) selepas perkembangan terbaharu iaitu akaun TikTok miliknya disekat.

Pengarah Pilihan Raya Pas itu berkata, selain menyifatkan tindakan itu seolah-olah kerajaan takut kebebasan media, sekatan akaun media sosial tersebut menyebabkan beliau dan Perikatan Nasional (PN) tidak mampu menangkis serangan dimainkan oleh pihak lawan.

“Takutnya mereka kepada media yang bebas, mereka padam habis, 5.2 juta (kesukaan) dah komen-komen pun, pengikut pun berjuta juga. Nak buat lain nak cari seorang-seorang (pengikut) payah juga kan? Lambat. Itulah zaman pemerintahan PH ini, negara Malaysia sedang bergerak menjadi Korea Utara.

“Korea Utara ini negara komunis, dia sekat semua media tak bagi rakyat tahu apa-apa, dengar dan patuh saja,” ujarnya dalam sebuah video dimuat naik dalam akaun Twitter, HarakahDaily yang merupakan lidah rasmi parti Pas.

Semakan mendapati akaun TikTok milik Muhammad Sanusi dengan segala hantaran yang dibuat sebelum ini sudah tidak dapat diakses.

Menurut Muhammad Sanusi, beliau kini diserang oleh pihak lawan membabitkan beberapa isu termasuk pembelian banglo dimiliki abangnya dan menyebabkan sekatan TikTok, beliau tidak dapat mempertahan diri.

“Selepas daripada ini akan datang kepada tuan-tuan berita-berita yang sangat mengerikan, sangat menakutkan. Hari ini saja saya kena ‘tembak’ lima kali. Macam-macam kes, kes banglo, kes itu kes ini, malam ini kes REE (nadir bumi) pula. Semua itu ada jawapan, tapi depa (mereka) padam TikTok saya.

“Buka TikTok tengok dah tak ada. Kita baru tengah popularkan, tapi itulah medan kita nak jawab habislah. Kita tak boleh masuk televisyen depa tak bagi, tak boleh masuk radio. Kita pakai TikTok dengan Facebook saja. Facebook budak-budak tak tengok dah sekarang mereka kata itu untuk orang tua,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN