BANDAR BAHARU: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berhubung isu dana Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) dan kecurian unsur nadir bumi (REE).
Beliau berkata, maklumat yang dinyatakan Menteri Dalam Negeri itu tidak benar kerana bersifat mengelirukan, berniat jahat untuk memfitnah dan bermotifkan politik.
Dalam isu REE kata Muhammad Sanusi, Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah bukan dikompaun atas kesalahan mencuri mineral tersebut tetapi disebabkan agensi terbabit adalah pemegang permit ladang hutan di kawasan yang berlaku kecurian.
“Satu permit penggunaan telah dikeluarkan atas nama MBI yang melantik satu syarikat usahasama untuk membangunkan ladang hutan, bukan syarikat tersebut yang dikompaun.
“Yang dikompaun adalah pihak ketiga yang menceroboh dan melakukan kegiatan mencuri (REE). Dalam dokumen Pejabat Tanah dan Galian (PTG) terdapat nama individu yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 426 (1) Kanun Tanah Negara 1965,” katanya.
Pada sidang akhbar selepas menyerahkan geran tanah di daerah Bandar Baharu hari ini, Muhammad Sanusi mengulas dakwaan Saifuddin yang menyatakan beliau dikompaun RM500,000 kerana kesalahan mencuri REE.
Semalam, Saifuddin dalam ceramah di Guar Chempedak, dekat sini berkata, denda tersebut dikeluarkan tahun lalu oleh PTG Kedah ke atas Muhammad Sanusi atas kapasiti beliau sebagai Pengerusi MBI Kedah.
“Saya sudah terangkan isu ini dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini dan saya juga tidak pernah terima surat saman atau kompaun, dia sebut saya disaman bukan lagi untuk (modal) berkempen tetapi mempamerkan kejahatannya.
“Saya ingat maklumat itu dia curi sebab ianya separuh masak bagi tujuan mengenakan kita dengan jalan yang salah. Menteri KDN tidak boleh buat kerja begitu, buatlah kerja ikut saluran undang-undang ada agensi dan jabatan. Jangan curi maklumat kerajaan kemudian sebut dalam ceramah,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi menjelaskan baki peruntukan Marris yang tidak dibelanjakan sebanyak RM259 juta berada di dalam simpanan tetap kerajaan negeri dan ia dilaporkan dalam penyata kewangan serta diaudit oleh Jabatan Audit Negara.
“Tidak ada langsung salah guna peruntukan sepertimana yang disebut oleh menteri. Jika ada salah laku sudah tentu perkara ini telah dibangkitkan dalam laporan Ketua Audit Negara.
“Apa yang dibangkitkan oleh Audit Negara adalah baki peruntukan sebelum tahun 2014. Jika hendak dikatakan menyalahi tatakelola pengurusan kewangan, salah laku ini berlaku sebelum tahun 2014 bukan semasa pentadbiran saya,” katanya. – UTUSAN










